Prestasi Selangor lebih baik daripada Pusat
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai kelayakan untuk mendapat kenaikan elaun disebabkan prestasi yang ditunjukkan mereka dan negeri amat baik sekali.
Khalid menjelaskan demikian pada sesi perbahasan belanjawan 2012 di Dewan Rakyat apabila ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan tindakan Pakatan Rakyat (PR) menolak kenaikan yang dicadangkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet tetapi menerima cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sepanjang tahun 2009 hingga 2011 telah menghasilkan bajet yang seimbang, hutang negeri tidak meningkat kerana tiada pinjaman dilakukan.
"Hasil negeri meningkat jika dibandingkan dengan pemerintahan di bawah BN yang mana rakyat sekarang dapat merasa hasil kekayaan negeri sejak dari awal dilahirkan sehinggalah mereka meninggal dunia, selain menikmati air percuma," jelas Khalid yang juga AJK PAS Pusat.
Tambahnya lagi, merujuk kepada prestasi baik dan keseimbangan antara hasil negeri dan rakyat, maka secara jelas setiap Adun di Selangor memang layak mendapat kenaikan elaun jika dibandingkan dengan prestasi yang ditunjukan oleh ahli parlimen BN terutamanya perbelanjaan defisit selama 14 tahun berturut-turut.
"Ahli Parlimen tidak layak mendapat kenaikan elaun jika kita melihat prestasi dan amalan pentadbiran BN berbelanja sehingga membuatkan hutang negara meningkat sehingga 53 peratus dari Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Bagaimanakah kita hendak bersetujuan agar kenaikan elaun ini diluluskan, kemerosotan ini bukannya disebabkan oleh dari ahli parlimen PR tetapi disebabkan oleh mereka di dalam BN yang selalu mengamalkan bodek dan kroni," katanya lagi.
Beliau juga memberitahu prestasi buruk merupakan halangan untuk melayakkan setiap Ahli Parlimen mendapatkan kenaikan dan ini pasti boleh diubah apabila PR mengambil alih pantadbiran di Putrajaya nanti.
Tindakan menuduh pendirian PR tidak bersependapat dengan apa yang dilakukan di Selangor, Khalid memberitahu kenaikan bergantung kepada hasil dan prestasi negara, malah jika dibandingkan dengan Negeri Selangor dari sudut pentadbiran jauh lebih baik dari apa yang kerajaan BN lakukan di negara ini.
"Kita melihat bagaimana kerajaan negeri menambah pendapatan negeri yang diperolehi dari hasil dan sumber asli, mengambil kembali hutang dari mereka yang telah berhutang serta menghapuskan budaya kroni.
"Sedangkan kerajaan pusat hanya tahu menambah hutang negara dan menurut kajian yang dilakukan oleh badan bebas mengatakan jika amalah defisit ini dilakukan oleh BN, maka pada tahun 2020 hutang negara akan meningkat RM1 trilion dan ia akan membawa negara ke arah kebankrapan," sambungnya lagi.
Beliau juga menyentuh janji kerajaan yang dinyatakan semasa belanjawan tersebut yang mahu menaikkan taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah satu yang baik tetapi dalam pada masa yang sama kerajaan perlu melihat kedudukan Hospital Shah Alam yang telah terbengkalai sejak sekian lama.-HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan