27 Oktober 2011

AL-FATIHAH UNTUK GADDAFI

Tuan yang saya muliakan:


Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi. Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang telah merampas kuasa semenjak tahun 1969. Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.

Tuan yang saya muliakan,

Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini telah memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma. Saya juga sedar yang Gadaffi telah menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.

Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70’an dahulu. Sokongan dana dan diplomatik untuk PLO, Japanese Red Army, IRA dari Ireland Utara, ETA dari Sepanyol – termasuk juga menyokong dan memberi dana dan senjata kepada Moro National Liberation Front dari Mindano.

Dalam masa yang sama - saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahtha kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.

Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), ABIM, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) - mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun tujuh puluhan dahulu – saya secara sinis telah mentertawakan kumpulan kumpulan ini. Ketika ini Gaddafi sedang menjual agama dengan Buku Hijaunya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao pada ketika itu ada Buku Merah. Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekkan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.

Ini berlaku lebih dari 30 tahun dahulu. Ini ketika saya telah bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita saya menyokong pejungan rakyat Kamboja. Kita kami anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestine dan warga Afrika Selatan. Ketika ini anak muda seluruh dunia sedang bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.

Biar saya jelaskan disini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman. Sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealoji kiri seperti di Russia dan di China, atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel. Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.

Tuan yang saya hormati,

Disini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijaunya atau dengan Libya wujud tanpa pilihanraya. Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa German, saya ingin membuka wacana realpolitik – politik yang dieja dengan huruf k. Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku dihadapan mata kepala kita.

Tuan yang saya hormati,

Libya ialah anggota OPEC – negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya. Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir. Atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin – sudah pasti warga Libya tidak hidup lumayan. Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.

Sebagai anggota OPEC kelihatan Libya dibawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia. Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah. Amat jelas - Raja Saudi adalah budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga Makam Nabi. Dasar Saudi yang pro Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam politik antarabangsa Gadaffi ini ialah sosok anti imperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini. Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat’ dalam kitab rujukan Rumah Puteh. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil – kerana semua syarikat ini dikekang dari masuk menjarah minyak di Libya.

Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa Gaddafi telah membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini. Kesalahan-kesalahn inilah yang membuatkan bala tentera NATO datang menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.

Tuan yang saya muliakan biarkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Di harapkan tuan akan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.

Pertama:
Gaddafi telah mengeluarkan dana lebih dari 300 juta dolar Amerika untuk membuat sistem Satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara-negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat-syarikat Eropah. Saban tahun sebelum adanya sistem Satelit Afrika ini – negara negara Afrika terpaksa membayar 500 juta dolar satu tahun harga sewaan. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap mata pendapatan sebanyak 500 juta dolar setahun.

Kedua:
Gadaffi telah merancang untuk menubuhkan AMF – African Monetary Fund. Lembaga AFM ini berperanan seperti International Monetary Fund (IMF)– meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan. Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi Along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua ini.

Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Central Bank of Africa yang beribu pejabat di Abuja Nigeria. Ini bererti nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau ero. Dengan wujudnya Central Bank of Afrika ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.

Gadaffi juga akan mewujudkan Africa Bank of Investman a yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini ialah untuk mencari modal dan melabor di negara-negara Afrika. Semua lembaga keewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011. Semua perancagan telah berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditanda tangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.

Ketiga:
Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afriak bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran pecuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal. Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkurang pula pengaruh kuasa pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh para ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau Emperor seperti Bokasa.

Melalui Lolonel Gadaffi kesatuan African Union menjadi satu organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak Gadaffi telah menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika. Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai satu yang bahaya. Sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri maka kaum pemodal antrabangsa dan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.

Tuan yang saya hormati,

Tiga pekara yang telah dilakukan oleh Gadaffi ini telah dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antrabangsa. Semua ini adalah jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini adalah kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika. Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gadafy ini seorang sosialis – tidak. Apa yang Gadaffi lakukan ialah secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman kaum pemodal antarabangsa.

Tuan yang saya hormati,

Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times , Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini. Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan bahawa warga Libya telah bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?

Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia – adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir? Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemo menentang Gadaffi seperti demo Bersih 7 Julai dahulu? Atau ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemo dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?

Tidak. Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemo ini tidak wujud. Kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya. Sejarah Libya ini tidak tamat disini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.(TT)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan