29 Oktober 2011

40% KEHILANGAN AIR DI SELANGOR TIDAK MASUK AKAL

Bekalan air: S'gor dakwa kadar NRW tidak terkawal

Kerajaan Selangor bimbang dengan peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) yang didakwanya tidak terkawal dan gagal dikurangkan ke tahap yang memuaskan, kata exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong.

"Jika Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak mampu mengurangkan NRW pada tahap yang memuaskan, ia akan memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih untuk pengguna," katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa, kegagalan SYABAS menurunkan peratusan NRW ke tahap yang memuaskan, membuktikan syarikat konsesi air ini gagal menjalankan penyelenggaraan paip air dengan baik seperti yang dikehendaki dalam perjanjian penswastaan air antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi itu.

"Mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), SYABAS masih gagal mengurangkan kadar NRW kurang daripada 30 peratus.

"Walaupun kadar NRW menurun pada kadar 32.38 peratus pada 2009 berbanding 38.43 peratus pada 2005, tetapi meningkat semula pada tahun lalu dan tahun ini, malah SPAN meramalkan NRW terus meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Elizabeth, tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tidak mustahil krisis bekalan air

bersih di Lembah Klang akan berlaku walaupun tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang mencukupi dan adakalanya berlaku limpahan.

"Laporan Pengkajian Penilaian Aset Air Negeri Selangor oleh Ranhill mendapati, dua loji rawatan air iaitu Kalumpang dan Sg Sireh memerlukan penambahbaikan yang besar manakala 18 lagi loji memerlukan penambahbaikan," tambahnya.

Elizabeth berkata, menteri-menteri kerajaan pusat lebih ghairah bercakap mengenai keperluaan membina Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2, yang didakwanya, bagi menutup kelemahan dan ketidakmampuan syarikat konsesi terbabit.

Seballiknya, tegas beliau, isu yang patut diberi perhatian oleh kerajaan pusat ialah menyegerakan pengambilalihan pengurusan air kepada kerajaan Selangor yang didakwanya sengaja dilewat-lewatkan dan dibelenggu masalah-masalah yang tidak sepatutnya timbul.

"Pengurusan air akan lebih terjamin, terurus dan profesional jika kerajaan negeri diberi mandat untuk ambil alih dari syarikat konsesi kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan.

"Jika kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air, kita amat yakin NRW berjaya diturunkan hanya sekitar 10 peratus dan tidak akan berdepan masalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 10 peratus setiap tahun," tambahnya.-MK

Komen: NRW sepatutnya dalam kadar 10%-15% bagi pengurusan yang cekap selepas diswastakan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan