26 September 2011

MTUC PIKET 3 OKT DI PARLIMEN

MTUC piket 3 Okt jika Parlimen bahas undang-undang buruh


KUALA LUMPUR, 26 Sept — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket — dilihat sebagai tindakan kata dua yang pertama di bawah kepimpinan baru - pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.
Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC semalam. MTUC lazimnya mengadakan mesyuarat am setiap enam bulan.

Sesi baru Parlimen bermula 3 Oktober ini dan akan berlarutan sehingga pertengahan Disember.

Walaupun sesi kali ini memfokus perbahasan mengenai Bajet 2012 tetapi beberapa rang undang-undang dijadual akan dibahaskan.

“Jika benar kerajaan meneruskan perbahasan mana-mana rang undang-undang buruh, khususnya Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, MTUC akan mengadakan piket di kawasan Parlimen pada hari pertama persidangan,” kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor kepada The Malaysian Insider.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja.

“Majlis Am MTUC telah meminta sekretariat agar berhubung dengan kementerian dengan segera untuk mengetahui sama ada Rang Undang-undang Kerja ini akan dibawa ke Parlimen, jika ada, maka ia bertentangan dengan jaminan menteri kepada MTUC sebelum ini.

“Jika diteruskan juga, kami akan mengadakan piket di depan bangunan Parlimen pada petang 3 Oktober ini,” kata Halim lagi sambil menegaskan pihaknya mahu memberi pendirian tegas MTUC kepada kerajaan.

“Jika Rang Undang-undang Kerja diterima untuk bacaan kali kedua, MTUC tidak akan teragak-agak untuk berpiket... kami mahu kerajaan mengadakan perbincangan selepas beberapa pindaan disyorkan oleh MTUC,” katanya lagi.

Halim menambah, MTUC berpendapat bahawa pandangan pekerja khususnya pendirian kongres itu tidak dibelakangkan sama sekali.

“Kami tidak mahu MTUC dibelakangkan,” katanya lagi.

Oktober lalu, Kementerian Sumber Manusia menarik balik Rang Undang-undang Kerja daripada bacaan kedua bagi membolehkan beberapa perubahan dilakukan serta menambah beberapa pindaan lain tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Ketika itu, Dr Subramaniam menafikan penarikan itu mempunyai kaitan dengan piket yang dijangka dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di tujuh lokasi, pada hari keputusan menarik balik diputuskan, bagi membantah cadangan pindaan terhadap beberapa rang undang-undang di bawah kementerian itu.

Dr Subramaniam berkata rang undang-undang itu akan dibentang semula pada persidangan Oktober-Disember 2010 selepas perubahan dilakukan tetapi terus ditangguhkan sehingga kini.

Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada 8 Julai 2010 meliputi peruntukan mengenai gangguan seksual di kalangan pekerja dan majikan dan kebajikan pembantu rumah.

Bagaimanapun MTUC menyedari pindaan itu membawa kerugian ke atas kebajikan pekerja dalam jangka panjang khususnya sistem kontraktor pekerja diperkenalkan.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

Difahamkan kementerianjuga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Pekerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan