09 September 2011

Kad prabayar: Pemimpin politik, SAMM gesa Putrajaya batal caj enam peratus

Kad prabayar: Perbit bantah Telco letak caj enam peratus

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit Malaysia (Perbit) Khamis membantah tindakan syarikat telekomunikasi (Telco) mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad sim mulai 15 September ini.

Presidennya Mohd Ali Ibrahim menegaskan, tindakan itu tidak masuk akal dan akan memberi kesan kepada pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kalau kita tengok, kebanyakan yang menggunakan prepaid (prabayar) adalah golongan berpendapatan rendah dan pelajar, walaupun enam peratus dilihat kecil tapi ia akan memberi kesan,” katanya dipetik Bernama Online.

Perbit telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mei lepas mengenai perkara itu.

Katanya, dalam surat itu Perbit mencadangkan agar Telco menyerap kos berkenaan atau menyalurkannya kepada pengedar kad tambah nilai sendiri dan bukan kepada pengguna.

“Timbalan Menteri Datuk Joseph Salang pada 29 Mei lalu ada maklumkan kepada kita bahawa cadangan Telco untuk menyalurkan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Mohd Ali juga berkata Perbit sanggup menyerap kos itu jika persatuan tersebut diberi hak pengedar tunggal kad tambah nilai.

Beliau turut berharap kerajaan dapat campur tangan dalam isu tersebut dan menyelesaikannya dengan segera.

Perbit akan mengadakan bantahan aman di hadapan bangunan ibu pejabat SKMM di Cyberjaya jika isu tersebut gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Syarikat telekomunikasi dalam kenyataan bersama hari ini, berkata caj enam peratus ke atas pembelian tambah nilai dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September itu dibuat berdasarkan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 sama seperti yang dikenakan ke atas pembelian makanan dan minuman di hotel atau restoran.

LAGI BERITA:
Kad prabayar: Pemimpin politik, SAMM gesa Putrajaya batal caj enam peratus

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan membantah tindakan syarikat telekomunikasi (Telco) mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenakan caj itu tidak munasabah dan mahu pentadbiran Najib membatalkan pendekatan tersebut.

Dalam mesej yang dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Twitter malam tadi, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, “saya bantah.”

“Boss @NajibRazak, cukai kepada pengguna prabayar satu keputusan yang tidak munasabah dan membebankan rakyat. Saya bantah. Pohon dibatalkan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempersoalkan sama ada keputusan itu wajar.

“Adakah wajar mengenakan caj enam peratus untuk setiap pembelian kad tambah nilai?” kata Mursyidul Am PAS, juga menerusi Twitter, merujuk kepada satu laporan media semalam.

Dalam pada itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga membantah keras.

“SAMM amat memandang serius dalam isu caj yang akan dikenakan ini, menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap pengguna prabayar yang begitu ramai penggunanya.

“Kerajaan juga harus sedar, para pengguna prabayar ini bukanlah mereka daripada golongan yang mampu,” kata Pengarah Seketeriat SAMM Zulkifli Ibrahim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan pengguna prabayar terdiri daripada golongan pekerja kilang, buruh kasar, pelajar, golongan sederhana serta mereka yang berpendapatan rendah.

“Mewajibkan caj enam peratus ini menunjukkan kerajaan hanya menjaga golongan korporat serta syarikat telekomunikasi yang sudah pastinya bebanan itu diletakkan kepada pengguna walaupun syarikat-syarikat ini menunjukkan keuntungan setiap tahun.

“Mengenakan caj enam peratus ini juga menunjukkan kerajaan tunduk kepada syarikat gergasi telekomunikasi seperti mana kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan kepada Astro yang menaikkan caj kepada pengguna tanpa melalui proses untuk mendapatkan kebenaran kerajaan seperti dakwaan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya lagi.

Dakwa beliau, kerajaan dilihat tunduk kepada kehendak syarikat-syarikat gergasi ini dengan tujuan mereka dapat melipat gandakan keuntungan dengan tidak memikirkan masalah yang akan dihadapi oleh para pengguna.

“Bahkan kerajaan cuba memperbodohkan rakyat, menaikkan cukai-cukai perkhidmatan tanpa disedari oleh rakyat seperti penangguhan yang war-warkan oleh kerajaan seketika dulu untuk mengenakan GST kepada rakyat.

“Justeru, SAMM menyeru kepada rakyat untuk membuka mata bahawa inilah bentuk-bentuk kezaliman serta bebanan kepada rakyat terutamanya golongan anak muda yang sedang membina kerjaya masa depan, dengan kenaikan harga barangan serta caj perkhidmatan yang dihadapi sekarang ini,” kata beliau lagi.

Katanya, jika kerajaan peka terhadap masalah yang dibebani rakyat sekarang ini, SAMM mendesak supaya dihapuskan caj enam peratus terhadap pengguna khidmat prabayar seperti yang diumumkan.

“SAMM amat yakin jika kerajaan masih meneruskan dasar untuk membebankan rakyat ini, SAMM meminta rakyat agar menolak kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan baru yang lebih mesra rakyat dalam aspek kebajikan khususnya dalam perihal cukai,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan