01 Ogos 2011

AKHIRNYA KITA MENEMUI NEGARA "MERDEKA"

Bebaskan Malaysia dari penjajahan ketakutan dan keganasan!

Meskipun Tanah Malaya merdeka dari penjajahan British pada tahun 1957, dan seterusnya untuk Sabah dan Sarawak pada tahun 1963, namun pada hakikatnya negara Malaysia tidak pernah bebas dari penjajahan ketakutan dan keganasan. Kita bukan sebuah negara merdeka, selagi kita boleh dipukul polis pada bila-bila masa.

Demikianlah kata-kata ahli jawatankuasa BERSIH 2.0, Wong Chin Huat ketika berucap dalam candle light vigil, sebagai solidariti kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mencari kebenaran.

"Kita turun ke jalan raya untuk mencari demokrasi, namun akhirnya kita menemui negara," kata Wong Chin Huat, yang mendakwa bahawa tanggal 9 Julai 2011 menandakan kelahiran Malaysia 2.0. Teruja dengan sambutan hadirin, beliau memimpin untuk melaungkan "Merdeka!"

Wong Chin Huat berkata, tahanan EO6 kehilangan kebebasan untuk kira-kira 30 hari, dan mendiang Teoh Beng Hock kehilangan nyawanya pada usia 30 tahun - kedua-duanya berlaku dalam zaman pemerintahan Najib Razak. Beliau menaruh harapan agar rakyat Malaysia tidak perlu lagi bertoleransi kepada keganasan pada masa depan, hanya kerana alasan bahawa masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum.

Kira-kira 600 orang menyertai candle light vigil yang diadakan oleh Malaysians for Beng Hock di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KL-SCAH), semalam. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga, Presiden KL-SCAH Tan Yew Sing, wakil NGO, pemimpin politik seperti Teo Nie Ching, Ean Yong Hian Wah, Jenice Lee, Sivarasa Rasiah, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain lagi turut hadir untuk memberi solidariti kepada ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Ambiga: EO6, BERSIH, TBH semuanya menuntut keadilan

Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan berkata, kita tidak akan melupai Teoh Beng Hock. Malah, kita gagal menggantikan Teoh Beng Hock sebagai seorang suami, anak dan abang yang baik kepada ahli keluarganya. Beliau berkata, usaha menuntut pembebasan EO6, BERSIH 2.0, hinggalah kembalikan kebenaran untuk Beng Hock - kesemuanya menuntut satu perkara, iaitu keadilan, dan mendukung semangat negara hukum (rule of law).

Zuraida Kamaruddin mengakui bahawa dirinya turut merasai kesedihan apabila dimaklumkan kematian Teoh Beng Hock. Beliau pernah bertemu dengan Teoh Beng Hock di pejabat EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah. Beliau mendakwa dirinya nampak harapan apabila bertemu dengan orang muda seperti Teoh Beng Hock.

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan EXCO Selangor merangkap ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menolak kesimpulan Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock bahawa mendiang mati kerana membunuh diri. Mereka merakamkan penghargaan kepada orang ramai kerana tidak melupai Teoh Beng Hock sepanjang dua tahun ini, malah menyeru agar rakyat terus mendesak agar kebenaran dikembalikan kepada keluarga Teoh.-MR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan