02 Julai 2011

“Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak kerana baginda sebagai ketua agama tidak perlu ikut nasihat kerajaan.

Khutbah kecam Bersih seret masjid dalam politik, kata penganalisis

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Langkah menjadikan isu Himpunan Bersih 2.0 sebagai fokus khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri lain semalam secara langsung menunjukkan masjid turut diseret ke dalam politik, demikian menurut penganalisis politik Prof A. Aziz Bari.

Katanya, beliau juga tidak fikir wajar isu Himpunan Bersih 2.0 diseret ke dalam khutbah kerana ia sebenarnya usaha masyarakat sivil untuk membersihkan sistem pilihan raya daripada penipuan dan selaras dengan tuntutan perlembagaan.

“Khutbah Jumaat hari ini (semalam) menghentam Bersih. Ini membawa politik ke dalam masjid. Masjid perlu memperkatakan yang benar dan seimbang, bukan yang berat sebelah dan mungkin, palsu.

“Saya tak fikir apa yang disebut oleh Datuk Che Mat Che Ali, Pengarah Jawi wajar. Beliau sepatutnya tidak menunjukkan bahawa Jawi yang sepatutnya di bawah Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam Wilayah, memihak kepada Umno-BN,” kata Aziz yang juga pakar perlembagaan.

“Kita semua tahu Umno-BN takut perhimpunan Bersih. Saya juga tidak fikir wajar isu Bersih diseret ke dalam khutbah kerana ia adalah usaha masyarakat sivil untuk membersihkan pilihan raya daripada penipuan dan selaras dengan tuntutan perlembagaan,” katanya.

Selepas dikecam hebat dalam media arus perdana, Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai turut menjadi fokus khutbah Jumaat, termasuk di Wilayah Persekutuan semalam, dengan menyifatkan penganjurnya sebagai gerakan pelampau.

Malah, ketika dihubungi The Malaysian Insider, Che Mat mengesahkan perkara itu dan berkata sebanyak 150 masjid termasuk di Putrajaya akan membacakan khutbah bertajuk “Memelihara Nikmat Keamanan”. “Ya...ya... kita akan gunakan khutbah khas itu sebab penting satu keamanan yang kita kecapi tidak mudah kita musnahkan,” katanya.

Teks khutbah itu berkata memelihara keamanan adalah satu perkara yang dituntut dalam semua agama.

“Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran. Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan,” katanya. “Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam,” kata khutbah khas itu.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus ke atas Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat dan lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan.

Aziz yang juga ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa menambah, khutbah kali ini juga jelas mengajak atau mengelirukan umat Islam, yang “saya fikir tidak sebodoh itu.”

Justeru kata beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak ke atas Pengarah Jawi yang peranan politiknya telah banyak diperkatakan.

“Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak kerana baginda sebagai ketua agama tidak perlu ikut nasihat kerajaan.

“Jika tidak, kita bimbang imej baginda akan tercemar kerana apa yang disebut di atas menunjukkan yang pentadbiran agama dikawal oleh orang politik. Ini yang hendak dielakkan oleh perlembagaan,” katanya lagi.

Sambil berkata “cukuplah mereka gunakan RTM dan media milik mereka” untuk mengecam Himpunan Bersih 2.0, Aziz juga berkata menggunakan masjid akan memalukan umat Islam khususnya apabila majlis perundingan agama bukan Islam juga telah menyokong langkah Bersih.

“Tidakkah itu memalukan? Seolah-olah Islam tidak prihatin kepada keadilan dan kebersihan pilihan raya,” kata Aziz lagi sambil bertanya “siapa yang membuat huru-hara?” “Semua orang tahu jawapannya. Tapi bukan peserta perhimpunan seperti yang kita lihat di Pulau Pinang (semalam),” katanya lagi.
-tmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan