11 Julai 2011

Rally Bersih 2.0 - Kerajaan berjaya, Bersih lagi berjaya.

Kedua-dua belah pihak Bersih dan kerajaan telah berjaya dalam isu rally anjuran Bersih semalam. Kehendak kedua-dua belah pihak berjaya diperolehi dengan kejayaan masing-masing..

Pihak kerajaan dan Polis mereka telah berjaya menghalang ratusan ribuan rakyat untuk berdemonstrasi, Dengan usaha kerajaan dan Polis mereka telah berjaya mengurangkan jumlah kedatangan iaitu sehingga hanya 50,000 orang sahaja dari yang pada asalnya dijangkakan seramai 500,000 orang jika tidak ditahan dan di tekan oleh kerajaan melalui ‘Polis Raja diMalaysia’ (PRDM).

Pihak kerajaan telah berjaya menangkap dan memberkas seramai lebih dari seribu orang pada hari semalam. Dan ini merupakan penahanan yang paling ramai setakat ini. Pihak Polis telah bekerja kuat untuk cuba menutupi hakikat yang ramai rakyat sedang memberontak di dalam naluri mereka. Justru IGP telah mengumumkan angka yang tidak menasabah iaitu seramai 6000 orang sahaja yang berhimpun.

Polis begitu berbangga mengumumkan yang mereka telah berjaya menahan ratusan ribu rakyat untuk berhimpun seolah-olah mengumumkan kejayaan menumpaskan sindikit terbesar pengedaran dadah. Pihak pemerintah berusaha keras yang perhimpunan itu akan menjejaskan perniagaan pada hari semalam. IGP pun nampaknya bercakap ala ahli politik. Mungkin bergiat dalam politik merupakan 'option' yang baik selepas beliau bersara nanti.

Tetapi rakyat kembali bertanya kalau di benarkan perhimpunan secara aman diadakan maka tidak akan berlaku kekosongan dari orang ramai di tempat-tempat yang biasa dengan kesibukan manusia. Kalau di benarkan rally itu di adakan secara aman bas-bas tidak akan hilang penumpang seperti yang selalu diperolehi mereka.

Polis menutup jalan-jalanraya kerana hari ini terbukti yang menyebabkan huru-hara itu adalah pihak Polis yang mengambil rally ini seperti mahu menghadapi perang dunia ketiga. Malahan jika rally ini di benarkan rally itu diteruskan dengan kawalan pihak Polis, peniaga-peniaga akan mendapat lebih keuntungan dengan bertambahnya langan kepada barang jualan mereka.

Tetapi oleh kerana hendak menutup pandangan orang ramai tentang sokongan kuat dari rakyat untuk melakukan transformasi sistem pilihanraya itu maka dilakukan penutupan jalan-jalanraya yang penting di ibu kota untuk menghalang rakyat yang ramai untuk menyertai rally tersebut. Hasilnya peniaga-peniaga yang menerima padahnya.

Apa pula kejayaan pihak penganjur rally ini? Penganjur rally ini telah berjaya membuktikan yang mereka mendapat sokongan ramai. Jika tidak mendapat sokongan ramai masakan kerajaan menggunakan Polis dan undang-undang dharurat dengan menahan orang ramai yang disyaki menyokong Bersih di seluruh negara.

Kerajaan tahu yang jika rally ini dibenarkan di adakan tanpa gangguan pihak Polis ratusan ribu rakyat akan keluar secara aman untuk menunjukan menifestasi mereka terhadap cara pengendalian pilihanraya di negara ini. Tetapi kerajaan tidak dapat mengawal peserta rally dari rakyat Malaysia di seluruh dunia. Di Melbourne, Perth, Sydney, London dan tidak beberapa jam lagi di New York, Los Angeles serta di mana-mana sahaja rakyat Malaysia berada, mereka keluar memberikan sokongan dengan mengadakan rally secara aman tanpa gangguan pihak pemerintah.

Para penyokong rally ini datang dengan kehendak sendiri tanpa dibayar elaun dan mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Dari segi politiknya tentulah mereka mendapat sokongan dengan ‘legitimate’ tanpa didorong oleh imbuhan seperti yang diamalkan dalam mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh UMNO. ‘Tak ada fulus jangan harap mereka hendak berurusan dengan UMNO’….elaun makan, petrol kenderaan dan perbelanjaan lain-lain seperti hotel penginapan.

Kejayaan yang sangat ketara ialah membentuk keberanian rakyat untuk menghadapi segala rintangan seperti menghadapi taburan gas pemedih mata dan berbagai-bagai ugutan dan ancaman dari pihak Polis. Keberanian itu tentunya terbentuk apabila cara untuk membuat tuntutan lain tidak mendapat perhatian dari yang berkuasa.

Rally ini juga telah mula membuka mata-rakyat untuk melihat secara jelas apa-apa perkara yang dianggap tidak adil dalam perlaksanaan pilihanraya. Rakyat sedar yang perubahan wajib terlaksana seperti perubahan yang berlaku di Indonesia di mana kedua-dua pihak yang sedang bertanding untuk mendapatkan mandat rakyat itu boleh berkempen secara adil melalui media-media letronik secara sama rata. Indonesia kini merupakan demokrasi yang kedua terbesar di Asia selepas India.

Di Malaysia saluran-saluran TV perdana hanya dipergunakan oleh parti pemerintah sahaja dan digunakan untuk menekan parti-parti yang bertanding di dalam pilihanraya. Liputan yang terlalu berat sebelah menjadikan satu pihak tidak mendapat menyampaikan dasar atau manifesto mereka secara meluas.

Pilihanraya Singapura baru-baru ini juga telah menunjukan sikap terbuka dan keadilan kerajaan yang memerintah apabila parti-parti pembangkang juga diberi peluang dengan luasnya untuk menyampaikan mesej mereka melalui saluran perdana TV di negara itu. Jika kita tidak ada apa-apa yang hendak ditakuti, kita tidak mempunyai sebab untuk berasa takut untuk membenarkan saluran perdana itu juga dipergunakan oleh parti-parti pembangkang yang bertanding.

Tuntutan pihak Bersih untuk memberikan waktu dan masa untuk semua parti menyampaikan mesej masing-masing melalui TV saluran perdana itu bukanlah perkara yang baru. Di semua negara-negara maju, parti kerajaan dan pembangkang bersama-sama menggunakan media perdana sebagai saluran untuk semua pihak yang bertanding untuk menyampaikan semua mesej mereka kepada rakyat.

Satu lagi tuntutan Bersih ialah untuk mencari ‘mechanism’ untuk memberi kemudahan bagi rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Baru-baru ini kita melihat betapa ramainya rakyat Thailand yang menetap di negara kita telah pergi ke Kedutaan Thailand untuk mengundi dalam pilihanraya umum Thailand minggu lepas. Jika ini dapat dilaksanakan di negara kita maka kita akan menapak jauh untuk sampai ketahap negara maju seperti yang kita semua idamkan.

Kita tidak boleh menafikan hak ini terhadap pembangkang dengan memberi alasan yang kita mempunyai acuan kita sendiri yang tidak membolehkan parti pembangkang menggunakan saluran media perdana di dalam pilihanraya.

Kalau acuannya tidak sempurna bagaimana kita hendak mendapatkan demokrasi yang sepatutnya kerana acuan yang senget sebelah. Jika dulu sebelum rakyat faham tentang apa itu demokrasi mungkin acuan itu boleh di pakai, tetapi apabila rakyat sudah terbuka kepada sistem dan acuan yang lebih baik tentulah acuan yang selama ini kita pakai wajar ditukar.

Di sini Bersih telah bejaya memberikan sedikit sebanyak pelajaran kepada rakyat tentang demokrasi khususnya di dalam pengendalian pilihanraya yang bersih seperti yang di tuntut oleh demokrasi itu sendiri.

Pilihanraya yang adil dan saksama merupakan asas demokrasi yang tulin. Kalau kita tidak berani menghadapi pilihanraya secara adil, lebih baik jangan di adakan pilihanraya sama sekali. -Aspan alias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan