Sastewan negara gesa para intelektual buat pendirian
Bersedia menghadapi kemungkinan ditangkap ketika hambatan terhadap penyokong BERSIH 2.0 semakin
meningkat, Sasterwan Negara, Datuk A Samad Said menggesa para intelektual supaya berhenti menjadi 'carma' tetapi berani membuat pendirian terhadap kekejaman dan ketidakadilan.
Beliau mencipta istilah 'carma' itu - singkatan kepada 'cari makan' -
semasa pelancaran buku kartunis dan penulis satira politik, Zunar di ibunegara malam tadi.
Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad berkata penulis jarang membuat pendirian dan kebanyakan mereka adalah 'carma'.
Tegasnya, sikap mereka yang tidak bersedia membuat pendirian tersebut mengakibatkan kejahatan berkembang dan merebak.
Pak Samad kemudiannya mensasarkan kritikannya terhadap editor media arus perdana yang memburuk-burukkan perhimpunan 9 Julai anjuran BERSIH 2.0 bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
Bagi media arus perdana, katanya, BERSIH adalah kotor.
Pak Samad berkata, beliau juga terkejut mengapa wartawan yang berpengalaman dan memenangi anugerah di sana-sini, boleh memburukkan BERSIH.
Berucap kepada kira-kira 250 hadirin yang memenuhi auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Pak Samad berkata beliau tahu wartawan tersebut adalah dari kumpulan 'carma'.
Bagaimanapun, katanya, nasib baik masih ada sebilangan kecil penulis yang berani membuat pendirian kerana tahu Bersih adalah bersih.
Majlis pelancaran buku Zunar itu - di mana Pak Samad dan ahli
parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar diundang sebagai tetamu khas - diadakan beberapa jam selepas polis menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.
Walaupun mereka yang hadir, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali dan anggota exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, tidak berpakaian kuning, tetapi ramai yang memakai ikat tangan kuning untuk menyatakan sokongan mereka kepada BERSIH 2.0.
Seorang lelaki Cina dilihat memakai baju-T BERSIH yang diharamkan di bawah kain putih. Dia hanya menunjukkan baju-T kuning itu ketika bergambar dengan Pak Samad dan Zunar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan