Perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini, bergantung kepada keputusan pertemuan pemimpin gabungan itu dengan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga berkata gabungan itu yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar hari ini permohonan untuk mengadap Seri Paduka.
"Kami mahu menyampaikan keputusan kami kepada Seri Paduka dan kemudian kami akan mengumumkan (keputusan kami)," kata Ambiga dalam satu sidang akhbar hari ini.
Buat masa ini, katanya, jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 telah mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi dan memutuskan ia ia "mematuhi" titah Seri Paduka yang dikeluarkan malam tadi.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran keputusan jawatankuasa tersebut, sehinggalah mereka mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Ambiga berkata, gabungan itu menyambut baik titah Seri Paduka dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya dan 'campurtangan' yang perlu ekoran semakin meningkatnya ancaman dari penentang BERSIH 2.0.
Walaupun terus ditekan oleh pemberita, Ambiga mengelak menjelaskan apa yang beliau dimaksudkan dengan "mematuhi", dan berkali-kali menyatakan adalah lebih adil perkara itu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu daripada mengulasnya sekarang.
Apabila ditanya sama ada mereka akan membatalkan perhimpunan jika Seri Paduka menasihatkan demikian, dengan ringkas beliau menjawab "Ya".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan