02 Jun 2011

Hata Wahari: Wartawan kini hanya pentingkan gaji

Hata Wahari yang baru sahaja meletakkan jawatan sebagai Presiden National Union of Journalists (NUJ) sebak ketika berkongsi pengamatan bahawa wartawan kini hanya mementingkan gaji sendiri, dan tidak berprihatin terhadap kebebasan akhbar, dalam satu forum, semalam.

Hata Wahari yang menyandang jawatan ini untuk tempoh 11 bulan, ketika membincangkan "nilai" wartawan dalam satu forum semalam, berkata "nilai" itu tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Namun demikian, anggota NUJ hanya mengambil berat tentang gaji dirinya, kadar penyelarasan gaji, rancangan melancong ke luar negeri dan sebagainya, langsung tidak berprihatin terhadap kebebasan media - walaupun perlembagaan NUJ dengan jelas menggariskan, matlamat utamanya adalah mempertahankan kebebasan media.

"Untuk mereka, wang adalah paling penting. Gaji, penyelarasan tiga tahun sekali, 13%, 14%..." Hata Wahari mulai sebak, beliau menahannya dan meneruskan, "Untuk saya ini adalah sesuatu yang pelik..."

"Ia sesuatu yang menyedihkan. Untuk 11 bulan yang lalu, saya selaku Presiden NUJ, mengharapkan perubahan dalam NUJ. Tapi, apa yang memilukan, ia tidak... Ini kerana segala-galanya ada kaitan dengan wang. Dalam NUJ, kami hanya membincangkan kenaikan gaji tahunan, peraduan mencari harta karun, melancong keluar negeri. Ini sesuatu yang menyedihkan," kata Hata Wahari.

"Kebebasan media tu seolah-olah hanya... hanya untuk dilihat saja. Tak apa kalaupun tak ada..." Beliau gagal meneruskan, meminta agar moderator, Zaharom Nain memberi laluan kepada panelis lain.

Forum berjudul "What price, media freedom?" (Kebebasan media, apa harganya?) ini dianjurkan Centre for Independent Journalism (CIJ), membariskan ahli panel Hata Wahari, Wong Chin Huat (pensyarah media dan pengkaji politik), penyelidik institusi pengajian tinggi swasta, Ng Eng Kiat. Moderator adalah Profesor Zaharom Nain.

Kira-kira 40 orang termasuk aktivis dan wartawan menghadiri forum yang bertempat di pejabat Loyar Buruk. Perbincangan berlegar pada masalah yang dihadapi media bebas (independen), dan jalan keluarnya, antaranya krisis MerdekaReview yang berdepan dengan nasib untuk menamatkan operasi lantaran daripada masalah kewangan.

Hata Wahari menyandang jawatan Presiden NUJ sejak 17 September 2010, mengeluarkan kenyataan untuk mengkritik majikannya, Utusan Malaysia kerana memainkan isu perkauman. Beliau kemudiannya dipanggil untuk menghadiri siasatan dalaman, dan akhirnya dipecat pada 21 April 2011.

Hata Wahari (gambar kanan) hilang kelayakannya berikutan pemecatan dari Utusan Malaysia, lantas melepaskan jawatan selaku Presiden, dan diambil alih oleh Naib Presiden Chin Sung Chew dari Sin Chew Daily. Sebelum ini, Hata Wahari menerima undangan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk menjadi Editor Utusan Rakyat, namun terbitan ini belum mendapat permit dari Kementerian Dalam Negeri.-MerdekaReview

Tiada ulasan:

Catat Ulasan