Wawancara wartawan Amaluddin Zhafir dengan Jumilah Abdul Malik
Seorang wanita bertudung yang tampak cekal pada wajahnya, tegap pada lenggok jalannya, datang datang ke sesi wawancara bersama Roketkini tepat pada masa, seperti dijanjikan, dengan membawa bersama anak tunggalnya.
Detik itu lah saya terpanggil dengan sifat profesionalisme yang ada dalam diri Jumilah Abdul Malik, 48, kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Agak janggal bagi saya, sebagai ibu tunggal yang mempunyai kelulusan sebagai juru ukur bahan berdaftar yang bebas, beliau memilih untuk memandu teksi sebagai salah satu kerjaya.
Ya, berkelulusan ijazah Quantity Surveyor dari London South Bank University, seorang profesional bebas dari sektor swasta memilih untuk membawa teksi sebagai memenuhi masa lapang.
Oleh kerana itu lah wawancara ini diadakan, untuk menyelami pandangan seorang wanita Melayu yang berani bedepan dengan sesuatu yang jarang dilakukan orang.
Biasanya juru ukur bahan meninjau dan menilai kos projek pembangunan. Di negara kita yang masih bergelumang dengan masalah penyelewengan dan salah guna kuasa, Jumilah menjadi seperti seorang profesional yang memegang “kunci” rasuah.
Rasuah sebagai kerjaya?
Tentunya tidak. Jumilah tidak memilih rasuah sebagai kerjayanya, dan beliau gigih melawan perbuatan keji itu.
“Awak jangan pelik tau, saya pernah bertanggungjawab menjaga lebih setengah billion ringgit punya projek di Putrajaya,” jawabnya ramah bila saya menyoal tentang bagaimana beliau menetapkan pendirian melawan rasuah.
Tambahnya, memang tekanan bekerja sebagai juru ukur bebas sangat tinggi, tetapi diharunginya juga walau pun selalu ‘diganggu’ dengan permohonan untuk rasuah oleh kontraktor.
Pada 2005, beliau pulang ke Malaysia untuk bekerja sepenuh masa di pelbagai syarikat swasta sebagai juru ukur bahan sehingga 2007 apabila lulus peperiksaan dan diangkat sebagai Juru Ukur Bahan bertauliah – yang mana menandatangani dan meluluskan sesuatu projek itu berada di dalam tangan beliau.
Melalui tugas ini lah beliau mempunyai kuasa melawan rasuah.
“Tetapi yang paling parah ialah bila pelanggan bersekongkol dengan kontraktor… Ini lah rasuah paling teruk. Sebab sepatutnya pelanggan baik dengan kita supaya dapat selamatkan duit, tapi sebenarnya banyak kes pelanggan bekerjasama dengan kontraktor,” kata Jumilah, sambil tangannya membelai rambut puteri tunggalnya, Safiah Sakinah, 9 tahun.
Bagaimana pun, beliau optimis untuk membanteras rasuah kerana beliau percaya kejujuran adalah kunci menentang rasuah.
Tambah Jumilah yang baru datang dari mengambil anaknya di sebuah sekolah Cina, cara untuk menyelesaikan masalah rasuah ini ialah dengan “membuang” perasuah-perasuah.
“Senang,” katanya tersenyum, “buang saja mereka ini melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,) tetapi dalam skop politik hari ini, tidak ada cara lain kecuali kita ubah lah kerajaan sedia ada dengan Pakatan Rakyat. Boleh kan?”
Selain itu tambahnya, berlaku jujur adalah sifat penting untuk mengubah gejala rasuah.
“I love my job, I love my position, but as a human being, it’s very tough,” katanya berslanga pelat London.
Semangat perjuangan
Tanpa berselindung Jumilah mengakui beliau adalah ahli seumur hidup PAS dan sentiasa memerhati perjalanan politik negara.
“I’m very keen on politics,” jawabnya dalam bahasa Inggeris, “Saya tak mahu cakap lebih-lebih tetapi semua parti dalam Pakatan Rakyat saya sokong.” jelasnya mudah bila saya cuba bersilat agar Jumilah mendedah sedikit sebanyak pandangan politiknya.
Beliau bangga kerana tidak ada masalah rasuah di dalam kepimpinan Pakatan Rakyat.
“Hadi Awang, Nik Aziz, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, kita tengok ada tak dia orang ni terlibat dengan rasuah? Tak ada kan?” katanya lagi.
Saya cuba menggeleng-geleng kepala tetapi tak mampu. Yang mampu cuma menganggukkan kepala. Tanda setuju.
“Ok, sekarang kita tengok dekat Barisan Nasional pula, ada tak yang terlibat dengan rasuah?”
Belum pun saya memberi apa-apa jawapan, Jumilah terus membawa saya melihat dari sudut peranan media.
Media pukau rakyat
Beliau akui apa yang dilakukan oleh BN selama ini memang berkesan terutamanya kepada mereka di pedalaman.
“Orang-orang kampung, mereka punya sumber apa kalau bukan TV dan radio?”
Malah beliau mengakui beberapa kalangan rakan-rakannya dari latar belakang pendidikan yang sama dengannya juga terpengaruh dengan TV.
Memetik kisah perbualan beliau dengan seorang rakannya yang berkerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jumilah tersenyum lagi kerana menurutnya, rakannya itu takut dengan idea Pakatan mengambil alih pentadbiran negara kerana “orang Cina akan mengambil tanah orang Melayu”.
“Awak nampak? Betapa mereka ini berpelajaran pun, tetapi masih terpengaruh dengan TV.
“Dia takut Pakatan akan gadai negara dekat orang Cina… Dia kerja DBKL dekat dengan syarikat itu, dan saya tanya dia balik, ‘zaman pemerintahan siapa yang paling tinggi rasuahnya?’ Dia tahu tapi masih takut lagi dengan orang Cina…
“Itu peranan media,” katanya.
Kenapa teksi?
Sebenarnya, akui Jumilah, beliau memilih untuk memandu teksi adalah kerana beliau mahukan pendedahan luar, meluaskan pengalaman hidup, selain sedikit sebanyak menampung kehidupan jika tiada tawaran kerja.
“Saya pilih teksi sebab masa untuk kerja sangat fleksibel, dan dapat penuhkan masa saya untuk bekerja.
“Kalau saya tak bekerja, boleh sewel saya,” katanya ketawa.
Bagaimana pun, beliau menolak faktor tekanan ekonomi dan politik adalah punca beliau memilih kerjaya kedua tersebut.
Kata Jumilah, ketika mula-mula memilih untuk bekerja sebagai pemandu teksi, bekas suaminya memang agak terkejut tetapi hujahnya, kalau memilih perniagaan lain, contohnya kedai runcit, kena buka selalu, tak sama seperti teksi.
“Kalau saya tak mahu bawa teksi, saya simpan saja kereta,” katanya.
Anak, bahasa, agama dan masa depan
Berbalik kepada puterinya, Safiah, yang sedang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Hwa, Jumilah akui dengan tuntutan zaman dan kerana itu lah beliau dan bekas suaminya memilih sekolah itu.
“Itu untuk persiapan dia, suatu hari nanti contohnya kalau China, Singapura sekarang sedang meningkat ekonomi, mungkin boleh berurusan di sana,” katanya.
Mengakui tidak ada faktor politik dalam memilih pendidikan anaknya, beliau menambah:
“Saya cuma nak dia belajar bahasa Cina… Saya nak dia belajar buat sesuatu yang tak merugikan masa. “Ianya sebahagian daripada perjalanan hidup saja.”
Memetik surah al-Baqarah, beliau membacakan kepada saya ayat ke-20 surah tersebut dalam bahasa Malaysia.
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Selepas tamat surah tersebut, beliau menambah bahawa pengajian agama untuk anaknya adalah sangat penting dan oleh itu beliau mengajar Safiah terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
Bagaimana pun, Jumilah akui apa-apa pun boleh berlaku dan baginya kehidupan di dunia tidak lama.
“Tak apa lah, bagi saya hidup tak lama… Hidup sekali, mati dua kali,” katanya menutup perbualan kami pada petang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan