Biarkan lebih 28 juta Rakyat terus ditipu 191 orang?
Hishamuddin Hussein tidak mahu menyebelahi sesiapa. Beliau tidak akan terlibat di dalam pergeseran antara BERSIH dan PERKASA. BERSIH bakal menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai 2011 manakala PERKASA pula menentangnya. Mereka mungkin akan menggerakkan perhimpunan anti-BERSIH.
Walau bagaimanapun Polis mengancam untuk mengambil tindakan. Polis di bawah kendalian Hishamuddin tidak akan bersikap neutral seperti beliau.
Ini bermakna Polis akan mengambil langkah pencegahan dengan menahan penganjur BERSIH sebelum perhimpunan itu bermula.
Kerajaan sedar betapa bahayanya jika mereka membenarkan perhimpunan itu berjalan lancar. Perhimpunan BERSIH 1.0 pada November 2007 misalnya telah memberikan kesan terhadap Pilihan Raya Umum Mac 2008. Mereka bimbang perhimpunan BERSIH 2.0 akan mengulangi kesan pilihan raya umum akan datang, yang dijangka bakal berlangsung pada 11 November 2011 atau 11-11-11.
Walau apa pun, perkembangan di Timur Tengah telah menunjukkan bahawa ianya adalah berita buruk kepada pemerintah apabila rakyat sudah mula turun ke jalan raya.
Mereka yang sedang berlegar di koridor kuasa sememangnya takut kepada kuasa rakyat. Mereka tahu apabila rakyat bersatu maka runtuhlah pemerintahan mereka.
Dan BERSIH 1.0 telah menyatukan rakyat dan begitulah jua BERSIH 2.0 jika perhimpunan tersebut dibenarkan.
Sejarah telah membuktikan bahawa 1% kelompok rakyat akan menguasai 99% rakyat yang lain. Inilah kebenaran yang boleh kita lihat di mana-mana era di seluruh dunia.
Inilah makna kuasa sebenarnya. Kuasa adalah perihal 1% orang mendominasi 99% yang lain. Dan apabila 99% bangkit dan bersatu maka tumbanglah pemerintahan yang dikuasai 1% itu.
Cuba analisis mana-mana negara dan era, dari mutakhir ini sehinggalah kepada sejarah terdahulu. Sama ada ia Revolusi Perancis, Revolusi Amerika, Revolusi Russia, Revolusi China, Revolusi Cuba, Revolusi Iran dan sebagainya, bila 99% bangun memberontak maka habislah kuasa yang dipegang 1%.
Jadi, rakyat tidak boleh dibiarkan di jalanan. Solidariti jalanan telah menyatukan rakyat seperti yang telah kita saksikan di Mesir baru-baru ini. Penganut Yahudi, Kristian dan Islam yang saling memusuhi selama lebih seribu tahun tiba-tiba bersatu di jalanan. Oleh itu mereka harus disekat daripada berhimpun.
Inilah puncanya mengapa BERSIH 2.0 berbahaya dan mesti digagalkan. BERSIH 1.0 telah membuktikannya.
Jadi, kerajaan berada dalam keadaan panik. Rakyat Malaysia tidak boleh dibiar bersatu. Rakyat yang bersatu akan menamatkan pemerintahan 1% pemimpin ke atas 99% rakyat. Sejarah telah mengajar kita mengenai hal ini.
Tuan-tuan penjajah Inggeris telah mengajar kita. Bukankah kita dijajah Inggeris dan kita dididik mengikut acuan Inggeris?
Dan bukankah Inggeris telah membuktikan 1% pemerintah menguasai 99% rakyat di seluruh dunia selagi 99% itu berpecah belah?
Apabila 99% rakyat India bersatu, British terpaksa berundur balik ke England. Apabila orang Melayu, Cina dan India di Malaya bersatu di bawah parti Perikatan, British terpaksa mengalah dan memberikan kemerdekaan kepada Malaya.
Inilah fakta sejarah dan kita telah mempelajarinya dari penjajah Inggeris. Kita tahu strategi pecah dan perintah adalah sejajar dengan peraturan penguasaan 1% ke atas 99%. Hanya apabila 99% bersatu dan berhenti dari berpecah barulah 99% menjadi ancaman kepada 1%.
191 rakyat Malaysia sedang menguasai 28 juta rakyat. Ini jauh lebih kurang dari nilai 1%. 191 rakyat ini merupakan ketua bahagian Umno. Perdana Menteri Najib Tun Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin termasuk di dalam kelompok 191 orang ini.
191 ketua bahagian Umno ini memilih presiden dan timbalan presiden parti mereka. Kedua-dua pemimpin ini menang tanpa bertanding di dalam Mesyuarat Agung Tahunan UMNO yang dihadiri kurang dari 3000 orang perwakilan.
Jadi, 191 orang memilih pemimpin tertinggi negara dan hanya lebih kurang 2,500 orang mengesahkannya. Dengan erti kata lain, 191 ketua bahagian dan 2,500 perwakilan menentukan masa depan seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta.
Tetapi perkara ini hanya boleh berterusan selagi 28 juta rakyat Malaysia tidak bersatu dan tidak turun ke jalan raya. Itulah puncanya 191 ketua bahagian Umno dan 2,500 orang perwakilan masih mampu meneruskan penguasaan ke atas 28 juta rakyat negara ini. Penjajah Inggeris dan orang India telah mengajar kita tentang perkara ini.
Jadi, rakyat Malaysia tidak boleh dibiarkan bersatu dan dibenarkan turun ke jalan sebagai tanda bersatu. Kalau dibiarkan, maka tamatlah penguasaan 1% ke atas 99%.
Pada November 2007 ketika BERSIH 1.0 berlangsung, kerajaan gagal menghalang perhimpunan ini dan akibatnya pemerintah menanggung kekalahan teruk pada pilihanraya umum Mac 2008. Jika BERSIH 2.0 dibiarkan, dan jika rakyat bersatu di jalan raya, mungkin pilihanraya akan datang bakal mengulangi kekalahan teruk BN pada Mac 2008.
Walau bagaimanapun amat menyedihkan apabila rakyat Malaysia suka cakap banyak seperti kentut, anginnya hangat, berbau busuk dan bising.
Mari lihat berapa ramai rakyat Malaysia akan turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011. Mari lihat berapa ramai pembaca Malaysia Today yang banyak cakap turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011.
Penganjur BERSIH mensasarkan perhimpunan 300,000 rakyat. Saya berani bertaruh kurang dari 100,000 yang akan berada di sana. 100,000 itu pun jumlah yang sangat tinggi. Kalau mereka mampu menarik 50,000 orang turun ke jalan raya itu pun sudah dikira satu kejayaan.
Disebabkan itulah tiada apa yang akan berubah. Pilihan Raya ke-13 bakal berlangsung dan Barisan Nasional akan menang dan menjadi kerajaan persekutuan.
Bolehkah Pakatan Rakyat mengekalkan 4 negeri yang telah dikuasainya? Bolehkah Pakatan merampas semula Perak? Bolehkah Pakatan menawan Negeri Sembilan?
Bolehkah Pakatan memenangi semula 82 kerusi yang telah dikuasainya pada pilihan raya umum lalu? Bolehkah Pakatan menambah bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak daripada 2 kepada 20 kerusi dari jumlah keseluruhan 57 kerusi di Malaysia Timur? Bolehkah kita lihat Pakatan Rakyat menang sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen berbanding 122 kerusi BN?
Secara ringkasnya, apakah pilihan raya ke-13 nanti akan menyaksikan kewujudan sistem dua parti dan sebuah barisan pembangkang yang kuat?
Atau apakah Pakatan Rakyat hanya mampu menguasai Kelantan dan Pulau Pinang sahaja? Dan apakah 82 kerusi yang telah dimenanginya pada Mac 2008 akan berkurang kepada 50 sahaja? Apakah Barisan Nasional menyapu bersih Malaysia Timur seperti yang telah dilakukan pada Mac 2008?
Pendek kata, apakah pilihan raya akan datang Pakatan Rakyat gagal dan impian kita untuk melihat sistem dua parti dan barisan pembangkang yang kuat berkecai begitu sahaja?
Ya, itulah latar BERSIH 2.0. Jadi, jangan banyak cakap. Kata Nike: JUST DO IT! Bukan kata Umno: JUST DUIT! Saya letih membaca komen anda semua di Malaysia Today, yang rata-ratanya lepas geram dan maki hamun. Cakap macam cirit birit. Bak kata orang, syok sendiri.
Bangkitlah dan lakukan sesuatu. Hentikan menjerit dan mulakanlah gerak kerja. Dan jika kita gagal melihat 300,000 orang di jalan raya pada 9 Julai 2011 maka kita berhentilah. Saya juga akan berhenti membazir masa dan tutup Malaysia Today. Sudah jelas terang lagi bersuluh, pembaca Malaysia Today rata-ratanya persis angin kentut yang tidak melakukan apa-apa.
Itulah kentut: bising dan busuk tapi tak berguna satu sen.
Petikan Malaysia Today terjemahan oleh: Tinta Tun Adil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan