19 Mei 2011

Selamatkan MerdekaReview!

Meskipun MerdekaReview hanya membuka edisi bahasa Malaysianya pada Julai 2009, namun pada hakikatnya MerdekaReview telah wujud sejak Ogos 2005 dengan edisi bahasa Cina. Dengan kata lain, MerdekaReview telah beroperasi untuk lima tahun, dan bakal menyambut ulangtahun keenam pada Ogos yang akan datang. Malah, semangat pasukan kami semakin berkobar-kobar untuk menghadapi PRU ke-13.

Namun demikian, pasukan editorial MerdekaReview dimaklumkan pada saat-saat ini, bahawa penaja-penaja tidak akan lagi menyuntik dana untuk melanjutkan hayat MerdekaReview. Ketua Pegawai Eksekutif MerdekaReview, Ngeow Yin Ngee telah cuba sedaya-upaya untuk mendapatkan suntikan dana, namun gagal. Maknanya, MerdekaReview terpaksa menamatkan operasinya pada 31 Mei 2011.

Hampir enam tahun MerdekaReview mencurahkan usaha untuk membangunkan media internet, dan kami enggan akur dan pasrah begitu sahaja. Kami mengharungi segala rintangan dan cabaran, termasuk halangan untuk membuat liputan kerana tidak diberi pass media, kami pernah diserang hacker, ditohmah dan dilontar pelbagai tuduhan dan sebagainya. Dan kami tetap berjaya mengharungi segala-galanya!

Menjelang ulangtahun keenam, bilangan pembaca kami semakin melonjak, dan pasukan editorial kami disertai wartawan baru. Kami menubuhkan edisi bahasa Malaysia dua tahun lalu, sungguhpun pada skala yang kecil, namun dengan tenaga manusia yang terbatas, kami cuba sedaya-upaya untuk menyajikan liputan berita mahupun analisa yang tajam dan pedas. Pada masa yang sama, bahagian pengiklanan kami juga memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan.

Kami tidak sanggup melihat usaha enam tahun ini dikebumikan dalam sejarah. Kami masih menaruh harapan untuk terus berada di gelanggang media, dalam senario politik yang semakin mencabar pada hari ini.

Tulisan kami mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak, malah barangkali semua pihak - khususnya pemerintah dan pembangkang yang menganggap kami sebagai lidah musuh, apabila kritikan dilontarkan kepada mereka. Kami sedar bahawa ia sesuatu yang sukar untuk "berkecuali", dan mengetengahkan pandangan yang melangkaui kepentingan kepartian. Namun itulah idealisme kami untuk mengkritik atas prinsip dan kebaikan masyarakat keseluruhannya.

Namun kami yakin, bahawa usaha ini akan mendapat restu daripada pembaca, kalau bukan semua. Kami akan terus mendedahkan kebenaran, berjuang untuk kebebasan media, dan mengkritik segala pencabulan terhadap hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.

Kami membuat cubaan terakhir, dan mendoakan cahaya harapan di penghujungnya. Selamatkanlah MerdekaReview!

Kami memerlukan kos perbelanjaan kira-kira RM60,000 sebulan untuk mengekalkan skala operasi yang sedia ada. Kami merayu agar pembaca:

Menderma untuk MerdekaReview, agar kami mengatasi rintangan ini.
Menjadi penaja atau mencarikan penaja untuk MerdekaReview (jangka panjang).
Menulis artikel kepada MerdekaReview, atau media lain, untuk menyeru agar sokongan disuntik kepada MerdekaReview. (editorial_bm@merdekareview.com)
Menyebarkan maklumat ini secara luas.
Anda boleh derma melalui akaun bank berikut:

Hong Leong Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No akaun: 04001025891)
EON Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No.akaun: 0595110002973)
Maybank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No. akaun: 514440123099)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan