21 Mei 2011

Pengundi baru strategi jahat BN rampas Kedah

KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS menyifatkan pertambahan mendadak pengundi baru di Kedah sehingga 26,000 orang pada suku pertama tahun ini sebagai satu strategi jahat Kerajaan BN dengan kerjasama SPR, bagi membolehkan BN merampas Kedah dari PAS.

Strategi jahat seperti itu pernah dilakukan oleh BN di Terengganu pada PRU Ke-11 tahun 2004 lalu untuk membolehkan BN merampas Kerajaan Terengganu dari PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan, PAS amat ragu dengan pertambahan pengundi sebanyak itu di Kedah, memandangkan pertambahan sebenar berdasarkan pendaftaran yang dilakukan oleh PAS pada suku pertama tahun ini sehingga Mac lalu hanyalah sebanyak 4,000 orang sahaja.

Menurut beliau, sebelum ini PAS yang mendahului SPR dalam pendaftaran pengundi baru, tetapi kini angkanya ternyata jauh menyimpang dari jumlah yang sebenar.

Lebih meragukan lagi, katanya, berdasarkan semakan, didapati pertambahan pengundi-pengundi baru yang dilakukan oleh SPR itu bukannya pengundi-pengundi yang didaftarkan di Kedah, tetapi di Kuala Lumpur.

"Ini sememangnya jelas satu strategi jahat BN dengan kerjasama SPR yang perlu diketahui oleh rakyat," jelasnya pada sidang akhbar di Pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Strategi jahat itu juga, menurut beliau, turut dilakukan oleh BN dengan kerjasama SPR di Selangor dalam menghadapi PRU Ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, strategi jahat itu sememangnya amat sukar untuk diatasi oleh PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia turut membabitkan kerjasama SPR sendiri.

Dalam masa yang sama, PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak mempunyai ruang masa yang mencukupi untuk melakukan semakannya kerana masa yang diberi amat pendek.

"Sungguhpun begitu, PAS dan Pakatan Rakyat tetap akan terus mengadakan bantahan mengenai perkara itu kerana ia jelas satu strategi jahat BN untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berharap agar orang ramai sedar dengan taktik jahat yang digunakan oleh BN dalam menghadapi pilihanraya di negara ini kerana ia jelas melanggar peraturan sama sekali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan