09 Mei 2011

Isu penyatuan Umno-PAS perlukan perspektif luas, kata pakar

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Soal penyatuan Umno-PAS yang menjadi polemik sejak tiga tahun lalu, bukan hanya isu orang Melayu dan Muslim, sebaliknya perlu dilihat dari sudut lebih meluas melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum, kata pakar perundangan.
Malah negara juga memerlukan persaingan politik yang sihat menerusi sistem dua parti bukannya dihadkan kepada penyatuan dan penggabungan.

Sehubungan itu, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar) dari UIA, melihat pada perkembangan tersebut, PAS perlu melihat pelawaan daripada pesaingnya dengan cermat, bukan sahaja disebabkan pengalaman pahit ditendang keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 1997, tetapi lebih penting implikasi penggabungan politik kebangsaan.

“Kita kini dalam persekitaran (politik) mahu mewujudkan sistem dua parti di Malaysia dan ini hanya boleh berlaku jika kita mempunyai satu pakatan yang berbeza dalam kerusi kuasa di Putrajaya.

“Kita tahu Umno menentang keadaan ini sebab sistem dua parti bermakna akan berakhirnya dominasi mereka dalam sistem (politik) negara kita,” kata beliau.

Beliau juga berkata ketiadaan fungsi semak dan imbang, sebagimana dibolehkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah disebabkan oleh kewujudan sistem satu parti yang dijuangkan oleh Umno, yang kekal sebagai parti teras dalam BN.

Penganalisis dan pemerhati politik ini mendakwa Umno, selaku parti teras BN, memainkan peranan di sebalik tabir untuk mengeluarkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari arus politik nasional memandangkan ketua pembangkang itu dilihat sebagai ‘pengikat’ komponen-komponen dalam perikatan tiga parti itu.

PAS bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

“Kini Umno sedang berusaha untuk melemahkan PAS, yang akan melemahkan lagi Pakatan.

“PAS harus ingat bahawa ia dapat lebih banyak kerusi ekoran sokongan bukan Muslim dan Umno sedang akan perkara ini,” kata beliau sambil menambah, mereka tahu bahawa jika boleh mencetuskan keraguan dalam fikiran bukan Islam berhubung prinsip Islam ia akan tanda-tanda akhir kebangkitan PAS.

“Malangnya beberapa pemimpin PAS tidak sedar tentang perkara ini. Itu sebabnya mereka memajukan idea kerajaan perpaduan, yang sangat kurang jelas, sekuran-kurangnya dari perspektif perlembagaan,” katanya lagi.

Dalam pendirian terbaru semalam, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mahu Umno-PAS duduk semeja dengan kedua-duanya menunjukkan husnun niyyah atau niat baik demi menjunjung tinggi titah perintah Allah dan Rasul yang menuntut orang mukmin agar sentiasa bekerjasama atas kebaikan dan takwa, bukannya atas perkara dosa dan permusuhan.

“Permusuhan lama itu perlu dipadamkan untuk selama-lamanya! Musolahah adalah seruan al-Quran kepada semua apabila berlaku perbalahan dalam apa bentuk sekalipun,” kata beliau dalam pandangannya diemelkan kepada The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Juanda menyifatkan pihak yang menentang soal penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

Sementara sesetengah pihak bercakap mengenai penyatuan Umno-PAS penting untuk kepentingan Melayu-Islam, Aziz bertanya, “adakah kita boleh mengatakan Islam dan kebajikan Muslim di negara ini telah terpelihara dengan kerjasama Umno-PAS ketika 1974?”

Sebaliknya kata beliau, keadaan yang bertentangan wujud dan PAS dikeluarkan apabila Umno bertapak kukuh pada 1977, malah orang Melayu masih ketinggalan.

Justeru kata Aziz, sudah tiba masanya orang Melayu mengambil pendekatan berbeza dan apa juga formula yang dihalusi seharusnya dalam rangka perlembagaan.

“Ini bermakna tidak kepada sistem satu parti, tetapi keadaan yang lebih besar. Ini bermakna lebih banyak ruang kepada siaran pendapat dan orang Melayu mesti memastikan adanya lebih ruang untuk (elemen) semak dan imbang.

“Kini kita bercakap mengenai ketirisan saham lebih RM50 bilion milik orang Melayu dan Bumiputera. Ini adalah kerana ketiadaan pewakilan Melayu yang kuat dan ini mesti ditangani menerusi lebih daripada satu parti orang Melayu,” katanya.

Kata Aziz, kerjasama Umno-PAS tidak selari dengan perkara ini kerana “kita memerlukan lebih banyak saingan” politik.

“Kita perlu mengakhiri monopoli Umno. Ini adalah kunci kepada survival Melayu,” katanya.-TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan