SHAH ALAM, 6 Mei — Datuk Seri Najib Razak malam tadi menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 — yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”
Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka.
Pilihan raya umum disebut-sebut akan diadakan tahun ini.
Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum sebelum bulan Ramadan, awal Ogos ini.
Pakatan Rakyat kuasai Selangor tiga tahun lalu.
“Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.
“Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah,” katanya dipetik Bernama hari ini.
Berucap pada majlis Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan di sini semalam Najib (gambar) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, mahu semangat seumpamanya diterapkan dalam diri setiap ahli Umno negeri tanpa mengira usia.
“Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lepas).
“Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan,” katanya.
Najib juga mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi terbuka, sejarah kegemilangan sesebuah parti politik tidak menjamin kelangsungan kuasa mereka.
“Sejarah itu sepatutnya kita ambil sebagai iktibar kerana politik adalah suatu bentuk 'game', yang berkisar kepada nombor dan persepsi.
“Sebagai contoh dalam sesebuah negeri mempunyai majoriti pengundi Melayu, tetapi tidak bersatu, maka tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang diharapkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan