06 Mei 2011

Adakah tsunami politik akan berlaku di Singapura?

Adakah tsunami politik akan berlaku di Singapura? Seandainya soalan ini diajukan kepada mana-mana warga Singapura, maka jawapan piawai yang akan diperolehi adalah "mustahil". Mereka yang optimis mungkin menyusul dengan "barangkali pembangkang menang tipis di satu kawasan yang dikenali Aljunied. Pembangkang mendakwa bahawa pilihan raya ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah, dan keputusannya akan mempengaruhi dasar pentadbiran utama di Singapura.

Pertama, prestasi kerajaan sebelum parti pemerintah mengumumkan pilihan raya. Berbanding dengan negara lain di Asia yang sarat dengan masalah korup, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kemerosotan ekonomi, masa depan ekonomi Singapura kelihatan gilang-gemilang. Malah pembangkang di peringkat persekutuan Malaysia, perlu belajar daripada kerajaan Singapura apabila memerintah di Pulau Pinang.

Selepas krisis kewangan pada tahun 2008, ekonomi Singapura yang kental bangkit semula. Saya bersiar-siar di pusat beli belah dan pameran teknologi baru-baru ini, mendapati ia masih dibanjiri manusia yang datang berpusu-pusu. Ketidakpuasan politik mungkin telah dilepaskan melalui aktiviti membeli-belah. Menurut seorang pemandu teksi, kebanyakan warga Singapura belum sampai ke tahap tiada wang dalam poket untuk membeli-belah atau makanan.

Kebanjiran pendatang asing

Namun demikian, apakah sebenarnya ketidakpuasan penduduk Singapura dalam politik pada masa kini? Secara umumnya, tiga isu utama, iaitu inflasi, kenaikan harga perumahan dan lambakan populasi pendatang asing. Antaranya, populasi pandatang asing paling menarik tumpuan.

Seandainya ditambah pendatang asing tanpa izin, populasi pendatang asing di Malaysia mungkin mencecah 5 juta orang. Tapi, kebanyakan pendatang asing di Malaysia bekerja dengan gaji yang rendah, kerja yang kotor dan lasak. Di Singapura pula, 1.3 juta daripada jumlah populasi 5.0 juta adalah pendatang asing, bersamaan 25% - dan terlibat dalam pekerjaan gaji rendah hingga tinggi - dari pekerja pembersihan hinggalah farmasi - melibatkan orang dari pelbagai pelusok di dunia.

Untuk saya, mungkin warga Singapura belum kesempitan dari segi pendapatan dan perbelanjaan; namun kesabaran mereka terhadap populasi pendatang asing telah tercabar. Ramai antara mereka yang tidak berpuas hati akan mengaitkan isu mereka dengan pendatang asing. Misalnya, kadar peningkatan gaji yang rendah - mereka menuding jari kepada lambakan pendatang asing yang mengakibatkan fenomena ini. Kenaikan harga perumahan juga disebabkan pendatang asing yang mengakibatkan permintaan lebih daripada tawaran.

Pembangkang juga memainkan isu ini, mendakwa bahawa rakyat Singapura telah menjadi warga kelas kedua di tanah air sendiri. Malah pembangkang mendakwa bahawa seandainya pengundi melakukan kesilapan kali ini, maka mereka tidak lagi berpeluang untuk memperbetulkannya kerana tidak kurang "warga baru" yang bakal mengundi dalam pilihan raya akan datang.

Kawan saya berkongsi pengalamannya yang kekok dalam kampus di Singapura. Beliau memberitahu kawan Singapuranya bahawa dirinya bukan warga Singapura dalam satu perbualan - tiba-tiba suasananya berubah, dan perbualan tamat di situ. Tekanan warga Singapura bukan sahaja wujud dalam persaingan kerjaya, ruang bas, MRT, malah dalam akademik.

Kali ini adalah kali pertama PAP menghadapi cabaran sepenuhnya daripada pembangkang. Pembangkang telah mencapai muafakat "satu melawan satu" berdepan dengan PAP. Hampir separuh daripada jumlah pengundi mengundi untuk kali pertama. Malah, separuh daripada jumlah pengundi ini berumur antara 21 hingga 44 tahun. Unsur-unsur ini bakal menambah ketidaktentuan senario pada masa depan.

Kali ini, PAP Singapura meletakkan calon yang muda tetapi mengundang kesan sebaliknya. Seorang calon berumur 27 tahun bertanding di kawasan di bawah naungan Goh Chok Tong, menjadi bahan sindiran warga internet. Pesaingnya dari pembangkang juga berumur 20-an, namun menjadi idola politik yang dipuja.

Dunia internet Singapura kini amat mirip dengan keadaan sebelum tsunami politik melanda Malaysia pada tahun 2008. Sesetengah warga internet dengan kreatif menjadikan ahli politik sebagai bahan jenaka. Ramai generasi muda yang kemarahan mengkritik PAP yang telah lama memerintah. Malah, pendekatan media arus perdana yang menyebelahi PAP turut dijadikan sasaran. Seorang penuntut yang berumur 21 tahun menulis sepucuk surat yang mengecam laporan The Straits Times, dan surat tersebut tersebar di merata-rata. Ceramah pembangkang, jenaka PAP turut tersebar dalam ruang internet.

Mobilasi politik oleh penyokong atau mereka yang bersimpati dengan pembangkang di internet lebih luas pengaruhnya berbanding cara tradisional yang melawat rumah ke rumah atau ceramah pilihan raya. Ia membantu pembangkang untuk menjangkau keterbatasan tenaga manusia dan kesuntukan masa. Mobilasi internet tidak mempunyai logo politik, dan tidak memerlukan manifesto politik yang terlalu kompleks, tetapi mereka mempunyai musuh yang sama.

Akademik, PAP, pembangkang dan mereka yang duduk di atas pagar tidak percaya bahawa akan wujud perubahan yang besar, seperti tsunami politik 8 Mac 2008 - sentimen ini sedang memuncak, dan orang percaya bahawa PAP bakal mengekalkan kuasa - maka lebih senang hati untuk mengundi pembangkang.

Mengikut pengkaji politik, PAP mempunyai 35% penyokong setia, dan pembangkang juga mempunyai 25% penyokong tradisional. 40% selebihnya adalah pengundi atas pagar. Seorang kawan dalam Facebook-nya menulis, "Menangis apabila markah yang diperolehi tidak memuaskan ketika dalam tadika, dan kini sebagai belia yang bimbang dengan gaji yang tidak cukup tinggi". Ia membayangkan persaingan antara generasi muda Singapura dengan pendatang asing.

Apa yang memeranjatkan, pemuda Singapura yang mengundi buat kali pertama menunjukkan kecenderungan menyokong pembangkang. Pada asalnya saya ingat mereka adalah golongan berkepentingan yang mengekalkan status quo. Sejauh manakah nisbah mereka dalam undi atas pagar adalah kunci kuasa tsunami politik Singapura.

*Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview

Tiada ulasan:

Catat Ulasan