KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal berdepan siasatan skandal rasuah pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpene tidak lama lagi, lapor Asian Sentinel.
Ia ditulis Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong dan John Berthelsen, editor Asia Sentinel – sebuah media bebas yang menerbitkan berita dan analisis terhadap pelbagai isu di Asia.
Ia memfokuskan keputusan Najib membeli dua kapal selam yang tidak dilengkapi petunjuk arah dan senjata dengan kos tinggi yang kemudian terpaksa ditanggung Kementerian Pertahanan.
Mengikut Asian Sentinel, siasatan rasuah akan dimulakan dengan memanggil Abdul Razak Baginda selain mengheret individu-individu yang terlibat dalam konspirasi itu.
Artikel itu turut mempersoal sama ada pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, ada kaitan dengan siasatan itu.
Ia memetik kenyataan seorang rakyat Malaysia yang mengunjungi kedutaan berkenaan dan terkejut apabila mendapati ramai bekas tentera menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu.
“Beliau tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ lalu teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam di Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4,” kata laporan berkenaan.
Memetik Asian Sentinel, seramai 11 keluarga jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karachi 2002 mahu memfail dakwaan pembunuhan terhadap bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac berikutan percaya kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.
Artikel itu boleh dibaca dengan melayari: http://www.asiasentinel.com/index.php?option=com_content&task=view&id=47&Itemid=65
Sumber: Keadilan Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan