03 April 2011

PR SARAWAK: PR TANPA SNAP

Pakatan sedia bertarung tanpa bantuan Snap
Kuek Ser Kuang Keng

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan kemungkinan PKR akan bertarung pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini tanpa bantuan parti Snap.

Dalam lawatannya ke sebuah rumah panjang di Sri Aman - kira-kira 200km dari tenggara Kuching, semalam, Anwar menggesa pengundi masyarakat Iban supaya menolak parti tertentu yang didakwanya ditaja oleh BN bagi memecahkan undi pembangkang.

Meskipun tidak menamakan parti berkenaan, namun adalah jelas beliau merujuk kepada Snap.

"Dua tahun lalu, ada sebuah parti yang hampir mati tetapi tiba-tiba mahu bertanding di sini. Dari mana datang wang itu?

"Siapa beri mereka wang? Parti itu mahu memecah-belahkan undi pembangkang,” kata Anwar kepada kira-kira 50 penduduk Iban di Rumah Ayok, Pakit B, yang terletak dalam kerusi dewan undangan negeri Bukit Begunan.

"DAP, PAS dan PKR datang ke sini bagi melawan BN,” katanya sambil tidak menyebut parti Snap yang juga adalah komponen Pakatan Rakyat.

Terdahulu, ketika ceramahnya di Mulugu, yang juga terletak di DUN Bukit Begunan, Anwar mendakwa “parti yang hampir mati” itu ditaja oleh BN.

"Ia ditaja oleh BN bagi memecahkan Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau dan lain-lain. Mereka tidak mahu melihat perpaduan di kalangan rakyat berlainan bangsa,” kata Anwar kepada kira-kira 20 penyokong PKR yang berbangsa Iban di Rumah Ujan.

Kenyataan Anwar itu dilihat sebagai petanda jelas bahawa rundingan antara PKR dan Snap kini di ambang keruntuhan.

Juga tidak mengejutkan bagi Anwar melancarkan kempennya dengan menyerang Snap, khususnya di kawasan masyarakat Iban kerana Snap - yang melahirkan ketua menteri Sarawak yang pertama - masih dihormati di kalangan pemimpin Iban yang berusia.

Undi PKR dikatakan pasti terjejas jika ia terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan Snap dan BN.

Bukit Begunan adalah antara kerusi majoriti pengundi Iban yang diintai oleh kedua-dua PKR dan Snap pada pilihan raya negeri 16 April ini.
SUMBER-malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan