24 April 2011

Mengapa Najib-Taib yang menang gusar kepada Pakatan yang kalah?

Benar Barisan Nasional telah memenangi pilihanraya negeri (PRN) Sarawak. Benar, kerajaan BN di bawah kepimpinan Taib Mahmud, telah mengekalkan kuasa 2/3 majoriti mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Namun euporia dan gegak gempita keseronokan seperti malam 16 April hari Sabtu lalu tampak tidak mampu bertahan lama. Kerajaan Barisan Nasional Sarawak kembali diselubungi iklim cemas, rimas bercampur suram sesekali terkejut semacam orang baru kebah atau baik demam. Igauan ngeri takut kalah masih menghantui perasaannya dan psikologi-psike mereka rapuh.

Masakan tidak takut. Mengikut informasi risik pihak kerjaan BN sendiri sehingga ke saat akhir di garis penamat, dikatakan PBB dan parti-parti komponen BN akan kehilangan 2/3 majoriti. Bahkan tidak kurang yang berharap untuk menyaksikan pemerintahan baru di bumi kenyalang itu.

Penulis ketika mengendalikan satu Sidang Akhbar Jentera Pilihanraya PAS Sarawak, di Markaz Besar pada hari Rabu 13 April (seperti dilaporkan oleh Harakahdaily.net), telah membuat ramalan yang kurang disenangi pemerhati politik, khususnya pemimpin dan penyokong tegar Pakatan sendiri.

Meramalkan senario terbaik buat Pakatan hanya dengan memenangi 17 kerusi, sementara umum sedang menyaksikan bahawa sambutan program-progam Pakatan adalah luar dugaan merupakan kenyataan yang menongkah arus. Tidak popular. Lebih tidak wajar dikeluarkan oleh pimpinan PAS Pusat. Ada sebab mengapa penulis terpaksa berpada dengan sebutan tersebut.

Namun hari ini, penulis masih mampu mengangkat kepalanya. Berkebetulan hampir tepat ramalannya dengan pengumuman pada malam 16 April. BN memenangi 55 kerusi sementara pembangkang mendapat 16 kerusi, termasuk satu dari bebas selainnya Pakatan.

Telah banyak yang diperkatakan dan ditulis tentang keputusan PRN Sarawak semcam malas pulak untuk menambah lagi. Namun seperti biasa, penulis bukan sekadar terpaksa mengatakan sesuatu tetapi punya sesuatu untuk diperkatakan.

Andainya tidak diambil kesempatan ini, peluang untuk menyebutnya tepat dan jitu pada ketika dan waktu ia diambil perhatian pembaca akan sekali lagi terlucut.

Inilah maudhu' sentral penulisan ini. Ia adalah beberapa pengamatan kritis penulis mengapa Pakatan gagal menyingkir Barisan Nasional dan khususnya Taib Mahmud dalam PRN Sarawak lalu. Kebobrokan perjalanan P/raya oleh SPR tidak akan disinggung termasuk salah laku membeli undi oleh BN.

Lebih penting adalah supaya "penegasan-keinsafan" nanti bakal menjadi "ingatan sempadan" agar kesilapan tidak diulangi dalam berdepan dengan cabaran PRU ke-13 akan datang!

Sebelum penulisan ini semakin menjadi kritis, mungkin ada baiknya penulis mengiktiraf secukupnya pencapaian pembangkang atau Pakatan.

Meningkatkan sokongan popular ke tahap 44.76% serta menambahkan kehadiran pembangkang di DUN Sarawak sebanyak 100% yakni dari 8 melonjak ke 16 kerusi bukan pencapaian yang mudah. Ini sekaligus membawa erti bahawa Taib Mahmud mengalami kemerosotan 8% undi popular dari tahap 62.93% pada tahun 2006.

Jumlah undi BN kali ini adalah sebanyak 372,397 berbanding undi pembangkang (DAP, PKR, PAS, SNAP dan Bebas) 300,288. Sebagai negeri "simpanan tetap" dan kubu tegar BN, penghakisan pencapaian ke 55.24% undi popular adalah tidak meyakinkan Najib samasekali untuk terus Taib kekal berkuasa.

Terakhir BN Sarawak dan Taib mengalami kejutan kemerosotan adalah dalam pilihanraya 1987 di mana beliau hanya berjaya mempertahankan 25 dari 45 kerusi DUN Sarawak.

Paling bergaya adalah DAP yang memenangi 80% dari 15 kerusi yang ditandingi, menyumbang kini sebanyak 12 kerusi, dari 6 pada penggal lalu. Paling manis buat DAP adalah mengalahkan timbalan Ketua Menteri George Chan di Piasau kepada pimpinan muda DAP.

Meskipun Taib mampu bertahan kesemua 35 kerusi yang ditandinginya partinya, imej Taib bukan sahaja telah tercalar. Ironis sekali kemenangannya tidak dapat mengelak dan memadamkan hakikat bahawa beliau adalah liabiliti terbesar Najib dalam PRU ke-13 nanti. Semacam mendadak Taib adalah "petanda" segala yang buruk.

Luar biasa kebobrokannnya, khasnya kekayaan yang dimiliki suku-sakatnya dan bagaimana beliau gagal mensejahterakan rakyatnya meskipun bumi kenyalang itu cukup kaya dengan hasil mahsul; minyak, gas, kayu-kayan, bijeh galian, hasil bumi, kelapa sawit dan pertanian.

Mengapakah persepsi itu terus menerjah Najib dan BN? Apakah yang dibaca oleh Najib dan kumpulan strategists sehingga euporia kemenangan tidak lagi dapat dikekalkan setelah mempertahankn 2/3 majoriti penguasaan di dewan legislatif Sarawak itu? Bukankah itu kemenangan selesa?

Tegasnya, apa yang dihitung dan digeruni Najib dan think-tanknnya ialah unjuran senario PRU ke-13 apabila mengambil ukoran dari prestasi dan pola pengundian keputusan PRN Sarawak ini sebagai "sandaran" atau "baseline"nya. Berapakah kerusi parlimen yang akan terkandas?

Betul PBB dan BN menang besar kali ini, tetapi melihat dari perspektif unjuran ke hadapan, BN sedang mengalami keluk penurunan secara agak drastik sementara pembangkang khususnya Pakatan Rakyat sebaliknya sedang mengalami keluk kenaikan dan lonjakanya atau "upward-trend"nya. Dalam hal ini PAS juga menunjukkan potensi yang meyakinkan, meskipun kalah di kesemua kerusi yang ditandingi.

Yang menjadi perhitungan bukan hari ini tetapi esok. Bak pepatah guru pengurusan: "Tidak kira di mana anda sekarang, tetapi di mana anda akhirnya".

Dalam bahasa "Pelaburan atau Investment", Pakatan boleh disifatkan sebagai mempunyai harapan untuk terus untung kerana masih punya "Upsides atau Potensi" yang lebih menarik dan meyakinkan pelabur sementara BN-Taib dan BN-Najib itu sendiri adalah kelompok atau entity bisnes yang sedang mengalami keluk penurunannya dan tidak punya keupayaan untuk membuat lonjakan keuntungan kerana telah "tepu".

Bahkan BN semacam sedang mengalami fenomena pelaburan "undang-undang pulangan mengecil" atau tahap keluk "diminishing return", di mana bagaimana pun tambahan usaha, pulangan atau "return"-nya masih tidak berkadar langsung tetapi terkadangkali berkadar songsang. Ini pastinya menakutkan.

Isu Al-Kitab dan nama Allah mencetuskan kesan buruk dan persepsi negatif pelbagai pihak samada kaum asal Sarawak dan penganut agama Kristian, sementara tidak pula membawa peralihan sokongan Islam-Melayu yang lebih tegar kepada pegangan Islam dari Melayunya kepada BN. Sebaliknya tak kurang yang menganggap bahawa kekerasan itu mengundang persepsi buruk dan sempit terhadap Islam yang asalnya lebih bersifat RahmatanlilL'alamin - lebih ihsan-belas kepada semua makhluk di alam ini.

Dengan kata lain Najib gerun memikirkan bahawa Barisan Nasional yang dipimpinnya, di ambang PRU ke-13 ini, sedang kehilangan dan kemerosotan kepercayaan, "goodwill" dan "sangka-baik" rakyat dan pengundi.

Persoalan terakhir yang hendak digarap penulis ialah bersabitan Pakatan Rakyat.

Mengapakah Pakatan gagal menafikan 2/3 majoriti Taib dan BN? Mengapakah sebutan untuk menang, hanya satu khayalan dan cita-cita yang tidak berpijak atas dasar maklumat dan pengetahuan? Mengapakah penulis ini hanya mampu meramalkan bahawa Pakatan akan hanya menang 17 kerusi sahaja?

Dalam ruang terhad ini, penulis terpaksa meringkaskan penghujahannya.

Penulis menegaskan awal tadi bahawa Pakatan masih punya "upsides" atau "potensi" untuk menempah kemenangan yang lebih besar dalam PRU ke-13 kerana Pakatan yang "gagal" kali ini, mampu memperbaikki penampilan sebagai satu entiti koalisi atau muafakat politik yang lebih mantap dan berpadu dalam PRU-13 akan datang.

Dilihat dari segi mobilisasi jentera penerangan, penulis berani membuat rumusan bahawa Pakatan hanya wujud sebagai satu jenama yang cuba dijual apabila di atas pentas ceramah. Terlalu minima kalau pun ada, penampilan Pakatan dilakukan secara bersama dan bergandingan samada pada bill-board, kain-rentang dan posters termasuk juga pentas-pentas ceramah selain dari yang "perdana".

Lebih substantif lagi, kalau dilihat di segi perumusan Manifesto PRN itu sendiri dan bahan-bahan cetak yang diterbitkan. Gandingan Pakatan itu tidak menyerlah dan tidak menonjol. Ini mampu dan wajar diperbaikki.

Lebih malang lagi kalau ada sebutan-sebutan tertentu, seumpama mengisytiharkan calon bakal Ketua Menteri andainya menang, tidak dirundingkan dalam semangat Pakatan kerana sedikit sebanyak membawa kesan risiko dan buruk kepada parti–parti tertentu. Kalau mahu nafi 2/3 majoriti, apa perlu umumkan calon KM. Tambahan kerana ianya beri kesan risiko kepada rakan Pakatan tertentu.

Ini menujukkan bahawa kesepakatan dan muafakat politik Pakatan itu hampir terlepas pandang dan tercicir kerana amat menasabah, masing-masing parti komponen mahu memenangkan calon dan partinya tentunya.

Penulis berani menyimpulkan bahawa sebagai contohnya, sehingga ke garis penamat, Pakatan tidak punya objektif strategik yang disepakati, samada mahu menang memerintah atau sekadar menafikan 2/3 majoriti sahaja. Soalan ini bukan sekadar akademik tetapi membawa kesan dan menyangkut pendekatan penerangan.

Kegagalan Pakatan untuk menarik dan mengikat SNAP sekaligus sokongan Iban dan Dayak juga membawa kesan yang buruk terhadap prestasi pencapaian khususnya PKR dan penguasaan kerusi Pakatan di DUN Sarawak.

Apakah ini mampu diperbaiki dalam PRU ke-13 nanti akan tertanggung kepada sejauhmana Pakatan komited dengan pendekatan strategik "Grand Coalition" bagi menumbangkan BN nanti. Memang sukar untuk penulis berlaku adil menghuraikan semua isu-isu ini, namun jelasnya masih ada lagi "Potensi atau Upsides" yang boleh dipunggah oleh Pakatan dalam PRU ke-13 akan datang. Ini yang cukup menarik bagi pemerhati politik dan sekaligus mendebarkan serta menggusarkan Najib-BN.

Dalam suasana Pakatan yang tidak begitu terarah dan tersusun, "pendatang baru" seperti PAS amat tidak dapat dibantu. Berbanding DAP yang telah lebih 30 tahun berkecimpung dalam kancah politik Sarawak, PAS masih mencari-cari sentuhannya. Namun ia permulaan yang baik. PAS kalah tipis di Beting Maro tetapi memenangi 10 dari 19 saluran di DUN tersebut. PAS kini sedar kelemahannya di kesemua kerusi yang ditandinginya dan tahu faktor kritikal kejayaan (CSFs) untuk membuat perubahan nasibnya.

Dengan kata lain, pendekatan dakwah PAS mesti digarap dengan strategi penerangan politik yang lebih berbisa. Untuk kali ketiga penglibatan PAS dalam PRN Sarawak, penulis terpaksa mengakui bahawa strategis PAS kurang pantas untuk memposisi kedudukan dan keberadaannya dalam Pakatan sebagai teras mesej penerangannya, sekaligus terus berada bersama dengan agenda perubahan yang dipacu bersama rakan-rakan Pakatan.

Meraih undi Melayu-Melanau, dalam keadaan PRN Sarawak adalah satu kerja yang maha sukar mentelahan PAS didakwa bersama rakan-rakan Pakatan untuk menamatkan kuasa Melayu-PBB di Sarawak. Dalam suasana prejudis dan penuh kesangsian, faktor calon dan koalisi politik pakatan mampu membantu tetapi tidak disudahi dengan baik..

Ringkasnya, PAS masih boleh lagi memperbaikki prestasinya dengan lebih baik dalam PRU ke-13. Namun PAS tidak boleh mengulangi sikap lama. PAS mesti memunggahkan seluruh sumber dan peluang untuk memantapkan lagi posisi dan persepsinya dikacamata orang Melayu-Islam bukan sahaja orang Sarawak, bahkan seluruh PersekutuanMalaysia. Di kacamata segmen bukan Melayu-bukan Islam, kedudukan PAS semakin kukuh.

Penulis penuh keyakinan, berdasarkan penghuraian serba ringkas ini, Pakatan bersedia dalam satu pendekatan "Grand Coalition" untuk membuat kejutan lebih besar dalam PRU ke-13 akan datang.

Bayangkan, andainya Pakatan mampu menggerakkan seluruh segmen rakyat, termasuk golongan akademik, profesional, pelbagai NGOs, gologan remaja, wanita bahkan kakitangan awam dalam agenda melakar "Perubahan Besar" mengeluarkan negara dari pelbagai krisis ekonomi, kebejatan sosial dan pertentangan perundangan-agama serta hempitan hidup akibat dari pengurusan tempang dan bobrok Barisan Nasional, maka negara ini bakal menyaksikan menyinsingnya sebuah Malaysia Baru yang diimpikan semua!

*Tulisan ini dipetik dari blog Dzulkefly Ahmad (gambar kiri), AJK PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan