20 Mac 2011

Isu Al-Kitab: UMNO tersepit lidah pula bercabang

Keputusan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) melepaskan 35,000 naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin UMNO dengan lantang menentang penggunaan kalimah ALLAH di kalangan bukan Islam kononnya bagi memelihara kesucian agama Islam yang didakwa akan tercemar jika kalimah suci itu turut digunakan oleh masyarakat bukan Islam khususnya penganut Kristian.

Hasutan dan adu domba yang mereka lakukan hampir menimbulkan ketegangan kaum dan agama. Beberapa gereja diserang termasuk Gereja Metro Tabernacle yang musnah dalam kebakaran. Beberapa surau dan masjid di Petaling Jaya dan Kerinchi dirosakkan. Kepala babi pula dilempar ke kawasan masjid; semuanya dikatakan akibat rasa tak puas hati isu penggunaan kalimah Allah.

Hari ini, demi pilihan raya Sarawak yang dikatakan akan diadakan bulan depan tiba-tiba UMNO-BN membuat satu kejutan hingga pimpinan UMNO di peringkat akar umbi tercengang-cengang. Tidak kurang juga pakcik makcik di kampung yang ternganga kehairanan.

Mana mungkin UMNO yang begitu garang mempertahankan kalimah Allah dari turut diguna agama lain tiba-tiba meloloskan pengedaran Kitab Injil dalam bahasa Malaysia? Apakah sebenarnya pendirian UMNO? Berbagai persoalan timbul akibat keputusan cepu emas di ambang pilihan raya Sarawak ini.

Jawapan saya mudah. UMNO terdesak. Dalam keadaan terdesak manusia golongan ini akan tega menggadaikan apa sahaja walau maruah dan jati diri. Inikan pula satu pandangan dangkal yang hanya bermatlamatkan politik seperti penggunaan kalimah Allah secara eksklusif.

Justeru, kita tidak hairan apabila melihat sikap flip-flop pemimpin UMNO ini. Jelas menunjukkan UMNO sanggup melakukan apa sahaja demi pilihan raya dan bukannya atas dasar dan kepercayaan tulus.

Ke mana hilangnya pemimpin-pemimpin dan ulama UMNO yang sebelum ini begitu lancang membantah penggunaan kalimah ALLAH? Mengapa mereka tidak pula bangkit menentang tindakan Kementerian Dalam Negeri yang membenarkan kitab itu diedarkan di negara ini? GAPS dan PERKASA turut tersentap umpama tertelan biji salak.

Hari ini rakyat khususnya masyarakat Melayu-Islam sekali lagi dapat menilai wajah sebenar pemimpin UMNO yang mempunyai pendirian berubah-ubah mengikut kepentingan diri dan politik; bukannya memperjuangkan hak rakyat secara keseluruhannya. Sebaliknya, pemimpin PAS dan KEADILAN telah menyatakan pendirian yang hampir sama dengan isu penggunaan kalimah ALLAH.

*Kenyataan media oleh Faekah Husin selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan