BANCIAN PENDUDUK SABAH TIDAK TEPAT
Oleh: BRYAN CHANG SHAK HUNG
JUMLAH bancian penduduk di Sabah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2010 adalah begitu memeranjatkan, terutamanya dari segi bilangan penduduk melalui banci yang dijalankan pada tahun lalu.
Menjadi persoalannya, adakah anggaran bilangan penduduk tersebut boleh diterima sedangkan melalui banci yang dijalankan, tidak semua penduduk yang telah ditemual-bual atau disoal.
Perkataan ‘penduduk’ merujuk kepada orang yang menduduki kawasan tersebut, iaitu penduduk di Sabah, bermaksud bilangan orang yang menetap di Sabah tidak kira warganegara ataupun bukan warganegara.
Melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Sabah mempunyai penduduk seramai 3,120,040 (1,606,890 adalah lelaki dan 1,513,150 perempuan).
Adakah angka ini termasuk keseluruhan kawasan yang ditemu-bual semasa banci dijalankan? Jawapannya adalah TIDAK. Melalui sebuah keluarga yang ditemui, mereka mempunyai seorang adik lelaki bersama ibunya menetap di Kota Kinabalu dan seorang lagi di Kuala Lumpur dan dirinya tinggal di Batu 6, tidak seorangpun daripada mereka yang pernah disoal oleh pihak pembanci untuk mendapatkan maklumat semasa kempen banci dijalankan.
Persoalan kedua adalah adakah angka berkenaan termasuk dengan angka penduduk di rumah setinggan? Jawapannya adalah TIDAK. Ini adalah kerana di Sandakan, terdapat sebuah perkampungan setinggan di Batu 3, begitu banyak rumah setinggan yang menempatkan penduduk setinggan; tidak kira warganegara atau pendatang tanpa izin, tidak pernah dikunjungi oleh pihak pembanci memandangkan perkampungan tersebut berada di atas bukit.
Menurut perangkaan tersebut, terdapat sebanyak 92.7% daripada 27.566 juta penduduk di Malaysia merupakan penduduk warganegara Malaysia dan hanya 7.3% bukan warganegara.
Di Sabah, jumlah penduduk yang dicatatkan adalah seramai 929,299 (tahun 1980), 2,468,246 (tahun 2000) dan 3,120,040 pada tahun 2010. Melalui perangkaan 2010, Sabah merupakan negeri yang ketiga teramai di Malaysia selepas Selangor dan Johor.
Persoalan ketiga adalah adakah ini bermakna jumlah berkenaan mencerminkan bilangan penduduk yang tepat dari segi bilangan penduduk di Sabah setelah beberapa bukti dan contoh yang diberikan tidak memenuhi kriteria semasa banci dijalankan?
Di samping itu juga, pertambahan penduduk sebanyak 300% sejak tahun 1980 hingga 2010 juga tidak tepat memandangkan ia tidak melibatkan penduduk dari kalangan pendatang tanpa izin yang menghuni di negeri Sabah ini dan ia sepatutnya melebihi daripada jangkauan dan boleh mendatangkan kebimbangan kepada penduduk asal yang sah di bumi Sabah dan khususnya di Sandakan ini.
Saya rasa semacam penduduk asal sabah sudah tidak bermaya lagi memikirkan pertambahan penduduk yang tidak terkawal...tak lama lagi penduduk asal akan berada di bawah kawalan 'majoriti baru' dan ini sama sekali tidak boleh diterima
BalasPadam