13 Mac 2011

Anggur bakal jadi tarikan pelancong ke Langkawi

Fakhri Ali
ALOR SETAR, 11 Mac: Bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah, pelbagai usaha diterokai oleh kerajaan negeri khususnya di Pulau Tuba, Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Masyarakat Siam, S.Manikumar berkata, kerajaan negeri sedang memberi perhatian terhadap penanaman anggur sebagai salah satu daya tarikan pelancongan.

Menurut beliau lagi, idea bagi mewujudkan ladang tanaman anggur ini lahir ketika kunjungan ke Ladang Anggur Tasik Beris, Sik diadakan pada bulan Januari yang lalu.

Tambahnya lagi, sekiranya peluang diberikan bagi merealisasikan impian mewujudkan ladang anggur tersebut, maka Pulau Tuba mampu untuk menjadi salah satu destinasi menarik bagi produk tanaman anggur tersebut.

"Penglibatan para pengusaha ladang anggur di Tasik Beris dengan menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Negeri dalam produk ini, membolehkan satu lagi produk baru diwujudkan di pulau lagenda tersebut.

"Ia juga boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Indonesia, " ujarnya lagi.

Sebelum ini Pulau Tuba juga dipilih untuk menjadi sebuah pulau ilmu apabila sebuah sekolah tahfiz dan sains akan dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa kunjungan beliau pada akhir Disember yang lalu ke Langkawi turut menyatakan sebidang tanah telah diwakafkan oleh sebuah pertubuhan bagi pembinaan sekolah tersebut.

Ternyata usaha kerajaan negeri, bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan sememangnya mendapat sokongan dari individu, organisasi serta masyarakat setempat yang yakin dengan dasar dan sistem pemerintahan yang dibuktikan oleh Kerajaan Negeri memerintah Kedah sejak 2008 yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan