27 Februari 2011

"Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya"

Pertemuan eksklusif Perdana Menteri dengan ahli-ahli Parlimen BN beberapa minggu lalu -- yang disifatkan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebagai muhasabah perdana -- menghangatkan lagi teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13. Usia penggal Parlimen masih terlalu muda, belum pun mencecah tiga tahun, namun ia tidak menghalang rakyat berbicara soal pilihan raya segera. Apa pun, saya belum dapat melihat keperluan Najib Razak mencadangkan pembubaran Parlimen.

Saya pernah menghujahkan bahawa Umno-BN begitu memerlukan dana politik yang begitu besar bagi "membeli" undi, dan melicinkan jentera kempennya, sebelum menentukan tarikh PRU13.

Usaha mengumpulkan wang berbilion ringgit itu, terutama melalui projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, baru sahaja bermula. Sekurang-kurangnya ia memerlukan masa enam bulan lagi. Lagi pun, seperti ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, rasanya Najib tidak mahu bacaan politiknya terlalu mudah dibaca.

Dalam masa sama, Najib juga tidak dapat menyembunyikan kekhuatirannya terhadap pengaruh Buku Jingga, yang memperincikan janji-janji Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari memerintah, sekiranya dapat menguasai Putrajaya nanti.

Sekali lagi, ia suatu promosi percuma yang baik. Sama ada rakyat sangsi dengan tawaran itu, disebabkan terpengaruh dengan sanggahan Najib bukan isu besar. Yang penting, Najib dan BN dalam situasi terpaksa mempertahankan diri, bukan lagi di posisi penyerang, satu kedudukan yang agak lemah bagi sebuah parti pemerintah.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Pakatan Rakyat harus berada dalam kedudukan selesa. Malah, saya agak bimbang, dengan beberapa "pergolakan dalaman" dan masalah antara-parti dalam Pakatan. Seharusnya diberikan prioriti bagi mencari jalan keluar.

Sering ditekankan, PRU13 adalah kesempatan memilih kerajaan, bukan sekadar meneguhkan peranan pembangkang sebagai "semak dan imbang". Apa jua keraguan -- biarpun kecil -- terhadap keupayaan dan kemampuan Pakatan mesti dipandang serius dan diperbaiki.

Dalam masa sama, usahlah ghairah berkhayal dengan impian indah ke Putrajaya. Saya dimaklumkan, ramai yang kurang senang dengan pemaparan sepanduk, poster dan kain pemidang, yang seolah-olah menonjolkan "kerakusan" petugas Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Ada orang awam yang melahirkan rasa tidak selesa dengan petanda "ketamakan mengejar kuasa" itu.

"Itu 'kan perangai Umno. Bukankah Pakatan ada negeri yang perlu dijaga dengan baik dan ditunjukkan kemampuan berbakti kepada rakyat?" komen seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya.

"Memang rakyat resah dengan kenaikan harga barang. Mereka diasak pelbagai masalah harian. Tetapi, soal kita nak tawan Putrajaya tak perlulah heboh-heboh, tak perlulah misalnya dikaitkan ucapan selamat tahun baru pun dengan matlamat politik kita. Nanti orang meluat," tambahnya.

Keputusan PRU12 menunjukkan rakyat tidak dapat menerima sikap angkuh-sombong pemimpin politik. Mereka akan menolak wakil rakyat yang dilihat mementingkan diri.

Dalam politik, seringkali persepsi adalah segala-galanya. Justeru, jangan sesekali memberi mesej atau isyarat yang mungkin ditafsirkan rakyat daripada sudut negatif. Sudah ada kritikan terhadap gaya hidup wakil-wakil rakyat Pakatan, yang meninggalkan kesederhanaan dan mula berjinak-jinak dengan kemewahan.

"Di peringkat akar umbi, di kampung-kampung, yang amat memerlukan sokongan orang Melayu bagi mencetuskan perubahan di peringkat pusat, saya tidak nampak kesungguhan petugas PAS untuk mendaftarkan anak-anak muda sebagai pengundi. Ia berbeza dengan gerakerja DAP yang lebih proaktif. Kalau hal paling asas itu pun terabai, usah mimpilah nak tawan Putrajaya," tegur seorang bekas pemimpin pelajar, yang kini menetap di desa kelahirannya, di selatan tanahair.

Saya cuba melihat segala pandangan dan teguran itu daripada sudut positif. Masih ada ruang untuk penambahbaikan baik kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan mahupun wakil-wakil rakyat yang sentiasa diperhatikan.

Persiapan menghadapi PRU13 tidak sepatutnya menonjolkan keghairahan Pakatan terhadap kuasa yang dikejar, tetapi sewajarnya mendekatkan diri dengan rakyat, sehingga denyut nadi kesempitan hidup golongan bawahan dapat dirasai dengan ikhlas.-A.Lutfi Othman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan