19 Februari 2011

SPR: Tiada cadangan perkenal syarat baru calon pilihan raya

KUCHING, 19 Feb — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang untuk mengkaji had umur dan menjadikan tahap kesihatan calon sebagai syarat sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya di negara ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat SPR dengan parti-parti politik komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di sini hari ini, Abdul Aziz berkata setakat ini terpulang kepada budi bicara parti-parti politik sendiri untuk memilih calon sesuai bagi mewakili parti serta bertanding dalam pilihan raya.

“Itu urusan parti masing-masing,” katanya, dan menambah kata SPR tidak dapat berbuat apa-apa dalam perkara berkaitan dengan had umur atau tahap kesihatan calon kerana hal berkenaan di luar bidang kuasa SPR.

Dipetik Bernama, beliau berkata tindakan mengehadkan umur dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai syarat menjadi calon pilihan raya memerlukan pindaan undang-undang sedia ada.

Di Kangar, semalam, Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perlis mencadangkan SPR mengkaji semula Akta Pilihan Raya 1958 dengan memasukkan beberapa syarat baru berkaitan calon pilihan raya.

Yang Dipertua Perkasa Perlis Ameir Hassan dipetik sebagai berkata antara syarat baru yang dicadangkan ialah had umur calon tidak melebihi 65 tahun dan mereka juga perlu disahkan sihat, sekali gus memberi ruang generasi muda berkelayakan menjadi calon.

Ameir mendakwa wakil rakyat yang melebihi had umur sering mengalami tekanan dan ada di kalangan mereka meninggal dunia menyebabkan berlaku proses pilihan raya kecil yang memerlukan kos besar.

Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara berdepan 16 pilihan raya kecil membabitkan enam kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk tiga sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini iaitu di DUN Tenang, Merlimau dan Kerdau.

SPR membelanjakan kira-kira RM10.4 juta bagi pilihan raya kecil berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan