21 Februari 2011

Pemuda Pas sedia gempur kubu BN

KOTA SARANG SEMUT - Pemuda Pas seluruh negeri sudah bersiap sedia untuk menggempur negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) agar jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan At Tantawi berkata, Himpunan Pemuda Pas 30K yang diadakan kelmarin membuktikan pemuda parti itu sudah bersedia turun padang dan menyahut semboyan untuk berjuang apabila diminta oleh pucuk pimpinan tertinggi.

“Saya dapati komitmen pemuda cukup tinggi dan mereka cukup bersemangat berganding bahu bersama barisan hadapan untuk membuat persiapan awal pilihan raya malah berikrar untuk mempertahan negeri-negeri yang kini dinaungi PR, selain mahu merampas negeri yang belum kita miliki,” katanya.

Menurutnya, hasrat pemuda kini lebih fokus iaitu untuk menang dalam pilihan raya umum peringkat Persekutuan bagi mentadbir Putrajaya.

“Pemuda kini bersatu mahu meneruskan reformasi dan revolusi yang tercetus di seluruh dunia. Mereka jadikan kebangkitan pemuda di luar negara sebagai suatu suntikan semangat,” katanya.

Nasrudin berkata, apa yang berlaku di Tunisia yang membawa perubahan besar kepada politik dunia hingga berjaya menggulingkan pemimpin rakus, mencetus semangat kepada mereka untuk menegakkan pemerintahan yang adil.

“Saya percaya semangat itu akan sampai ke negara ini namun kita bukannya mahu menteladani pengaruh negatif, hanya mahu mengambil semangat juang rakyatnya sahaja,” katanya.

Menurutnya, pemerintah di negara ini tidak harus pandang ringan kebangkitan yang berlaku itu kerana tidak mustahil situasi sama akan berlaku kelak sekiranya dipimpin pemimpin rakus.

“Barisan pemuda kini sedang merapatkan saf dan akan pastikan musuh tidak mampu menerjah kekuatan jemaah kami dengan mudah. Inilah masanya pemuda menyambung semula perjuangan yang dibawa pemimpin terdahulu hingga kita mampu merampas lima negeri pada 2008,” katanya.

Nasrudin berkata, jawatankuasa Pas Pusat telah diberi mandat untuk memastikan jawatankuasa pemuda setiap negeri diperkemas dan diperhebat dengan pengisian lebih mantap untuk mengukuhkan jati diri agar fokus dalam perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan