Kebelakangan ini banyak serangan politik yang mempertikaikan politik dan keislaman Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini adalah pertanyaan kepada semua Naib Presiden di dalam PAS mengenai pandangan mereka ke atas tindakan tersebut ke atas Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
Apa pandangan Naib Presiden sekalian terhadap serangan bertubi-tubi Umno, terutamanya terhadap Mursyidul Am PAS,Datuk Nik Aziz Nik Mat?
Tuan Ibrahim:
Serangan bertubi-tubi Umno terhadap Murshidul Am PAS menggambarkan ketakutan Umno terhadap pengaruh beliau di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga merupakan usaha Umno bagi menjatuhkan imej PAS di mata rakyat Malaysia.
Serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi PAS bukanlah perkara baru, beliau dituduh melakukan rasuah, menyampaikan ajaran salah, tidak pandai mentadbir, dan lain-lain; cuma kali ini ianya lebih fokus dengan andaian bilamana imej Mursyidul Am jatuh, maka PAS tidak lagi mendapat tempat di kalangan pengundi.
Bahkan di Kelantan mereka melantik dan membayar upah kepada ‘tok guru pondok bagi memperlekehkan Tok Guru Nik Aziz dengan pelbagai dakwaan bohong mereka.
Namun ianya masih gagal mengikis pengaruh beliau; lantaran itu serangan peribadi begini merupakan asam garam bagi Tuan Guru dalam pengalaman perjuangan yang lama dihadapinya.Bahkan beliau tidak takut dan bimbang dengan celaan mereka yang mencelanya kerana dengan ilmu dan pengalaman yang ada, beliau yakin akan berjaya menangkis fitnah buruk ke atasnya. Insya Allah.
Salahuddin Ayub:
Pada pendapat saya, mereka telah mengenalpasti tonggak kekuatan PAS, dan di antaranya ialah kekuatan yang dimiliki oleh Tok Guru Nik Aziz.
Tok Guru Nik Aziz ialah Mursyidul Am dan seorang pemimpin yang berjaya merentasi sempadan kaum dan agama yang diterima sebilangan rakyat di negara kita kerana PAS hari ini telah berjaya memecahkan tembok pemisah orang Islam dan orang bukan Islam.
Tembok yang dibina Umno ini telah runtuh dan mereka kini menyaksikan kehakisan sokongan terhadap MCA, MIC dan Gerakan – itulah punca sebenarnya mereka menyerang samada soal peribadi ataupun kredibiliti Tok Guru Nik Aziz.
Mahfuz Omar:
Tok Guru Nik Aziz diserang kerana Umno berasa beliau ialah faktor kekuatan yang menyebabkan masyarakat dan rakyat menerima PAS.
Pada diri Tok Guru Nik Aziz mempunyai daya kepimpinan yang berjaya untuk membina kepercayaan masyarakat dan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.Sifat Tok Guru yang penuh integriti, akaunbiliti dan ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab telah menjadi faktor kekuatan PAS yang perlu dilumpuhkan oleh Umno.
Secara langsung, Umno mengakui bahawa Tok Guru Nik Aziz mempunyai kekuatannya yang tersendiri yang tidak dapat ditandingi selama ini – dari segi kepimpinan, kewarakan, ilmu pengetahuan dan integritinya selama 21 tahun memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar.Sehingga kini, tiada apa-apa perkara yang boleh Umno guna untuk mengheret Tok Guru ke mahkamah dan sebagainya.
Soalan 2:
Perbezaan kefahaman “Islam” dan “Melayu” yang paling ketara antara PAS dengan Umno.
Salahuddin Ayub:
Kita menjadikan Islam sebagai asas dan tonggak dalam kekuatan Melayu. Melayu harus bergantung kepada Islam sebagai agama dan dasar – dan Islam jugalah yang memandu PAS selama ini.
Ini kerana PAS menyedari sebaik manapun kepimpinan yang dilahirkan, ia hanyalah manusia biasa yang mesti dipandu Islam dan agama sebenarnya.
Itu beza kita dengan Umno – kita tidak menjadikan Melayu itu sebagai segala-galanya – kerana Melayulah kita tolong orang, kerana dia Melayulah kita mesti beri dia semua kelebihan, kerana Melayu kita boleh buat segala-galanya.Dalam PAS, Melayu itu perlu disandar kukuh dengan Islam di mana neracanya ialah Islam sebagai agenda besar perjuangan kita.
Mahfuz Omar:
Perbezaannya cukup jelas jika kita merujuk kepada perlembagaan PAS di mana parti menjunjung Islam pada kedudukan yang amat tinggi berbanding dalam perlembagaan Umno.
Dalam soal Melayu, ia tidak terpisah antara soal Melayu dengan Islam apabila kita meletakkan Islam dalam konteks agama yang dijunjung tinggi, maka dengan sendirinya, orang Melayu yang berlatar belakang berasaskan Islam akan turut dijunjung dari segi kepentingan dan keutamaan.
Ini berbeza dengan Umno kerana ia tidak meletakkan soal Islam itu sebagai suatu yang tinggi – walaupun zahirnya orang nampak macam serupa antara PAS dan Umno dari sudut Islam, kepimpinan Melayu, akan tetapi hakikatnya mereka tidak serupa umpama ikan keli dan ikan sembilang yang sukar dilihat perbezaannya.
Namun, hakikatnya mereka tidak sama, satu hidup di laut dan satu hidup di sungai – nampak serupa tapi ia tetap berbeza.
Tuan Ibrahim:
Perbezaan paling besar ialah ketika Umno menanam keyakinan rakyat bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu – satu kefahaman yang mengakibatkan masyarakat khususnya bukan Muslim gagal mendapat gambaran sebenar tentang Islam bilamana mereka melihat akhlak dan perangai orang Melayu yang tidak mencerminkan Islam yang sebenarnya.
Bagi PAS Islam ialah a way of life, yakni suatu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan dan Islam berada di atas dalam segala urusan.Islam memerintah bukan sekadar sebuah jabatan atau majlis yang diperintah dengan pelbagai perkara bertentangan dengan Islam sehingga Islam dianggap sama dengan jabatan-jabatan lain.
Manakala Melayu adalah jenis bangsa yang dicipta oleh Allah sebagaimana Allah mencipta bangsa lain; sayang kepada bangsa adalah fitrah manusia.Islam melarang kita bersifat taksub kepada bangsa sehingga melakukan penganiayaan dan kezaliman kepada bangsa lain.
Bangsa bukan tuan, ia hanya hamba Allah. Istilah ketuanan Melayu yang menggambarkan seolah-olah Melayulah tuan, manakala yang lain bukan tuan; jesteru ia bertentangan dengan nilai Islam yang sebenar.Bagi PAS, Islam adalah rahmat bagi alam seluruhnya; bukan sesuatu yang perlu ditakuti atau dibimbangi; dan pelaksanaannya secara syumul dalam semua urusan adalah kewajipan yang mesti diperjuangkan.
Ia bukan bermakna orang bukan Islam tidak ada hak atau jaminan; bahkan jaminan inilah yang membawa rahmat bagi alam seluruhnya.
Usaha menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar mesti dilakukan bagi menyelamatkan negara dari kehancuran moral dan akhlak. Kuasa politik diperlukan bagi menyempurnakan perintah Allah ini.
Soalan 3:
Satu cadangan untuk memperkasakan parti PAS di peringkat cawangan.
Mahfuz Omar:
Kita perlu meningkatkan keupayaan mengurus kepada pemegang-pemegang jawatan – itu yang sangat-sangat penting untuk mereka dapat menyesuaikan diri dalam konteks negara moden supaya mereka memahami soal approach yang harus dilakukan.
Tuan Ibrahim:
Perlu diwujudkan satu mekanisme bagi menghubungkan antara cawangan dengan kawasan.
Oleh kerana hubungan rasmi antara cawangan dengan kawasan tidak dinyatakan secara jelas dalam struktur; maka dicadangkan sebuah Majlis Tindakan Kawasan (MTK) dibentuk; di mana mesyuarat bersama antara pimpinan kawasan dengan semua ketua dan setiausaha cawangan perlu diadakan samada bersifat dwi bulanan atau tri bulanan.
Ini perlu dilakukan agar maklumat dan pengarahan parti dapat disalur terus kepada cawangan dan dengan ini kita akan berjaya mengikuti perkembangan sesuatu cawangan serta dapat memperkasakan cawangan tersebut.
Salahuddin Ayub:
Ahli-ahli PAS perlu diberikan pengetahuan sebagai nilai tambah kepada asas perjuangan yang sedia ada. Untuk memperkasakan cawangan PAS, mereka harus lebih ke hadapan dalam menerajui pembaharuan yang dikehendaki masyarakat di keliling mereka.
Sumber: Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan