12 Februari 2011

LAPUR YANG BAIK SAHAJA?

Reaksi Pertemuan PM Dengan 152 Ketua Bahagian Umno

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengadakan pertemuan dengan 152 ketua bahagian Umno bagi membincangkan masalah yang dihadapi dan kaedah untuk menyelesaikannya dengansegera.

Pertemuan itu bermula pukul 8.30 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pertemuan 152 ketua bahagian Umno dari seluruh negara itu tidak membabitkanMenteri Besar, Anggota Parlimen, Menteri dan Timbalan Menteri.

Beberapa ketua Umno bahagian yang ditemui berkata mereka telah membincangkan masalah yang dihadapi dan membentangkan kepada Perdana Menteri yang kemudian menyarankan beberapa cadangan untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Ketua Umno bahagian Baling, Kedah, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pertemuan dengan ketua bahagian Umno itu mencatatkan satu sejarah baru untuk Umno.

"Pada pertemuan dengan Perdana Menteri, saya telah menceritakan kepada beliau masalah yang dihadapi rakyat di Baling, memberi cadangan apakah langkah-langkah yang harus diambil untuk Umno kembali menang pada setiap kawasan parlimen di Kedah.

"Pada pertemuan itu, Perdana Menteri juga telah mengumumkan akan memberi bantuan sebanyak RM500,000 kepada negeri Kedah untuk tujuan memperbaiki rumah penduduk yang rosak akibat banjir baru-baru ini dan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukannya," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno bahagian Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pula berkata perbincangan dengan Perdana Menteri banyak membabitkan berhubung usaha untuk menang dalam pilihanraya ke-13 akan datang.

"Semua ketua bahagian Umno Kedah telah memberi komitmen mereka untuk bekerja keras demi kemenangan Umno pada pilihan raya akan datang dan saya memberitahu Perdana Menteri bahawa Umno mempunyai peluang untuk menang di Kedah.

"Perdana Menteri telah menyatakan kepada anggota Umno Kedah bahawa tumpuan harus diberi kepada golongan muda yang berusia 21 tahun dan ke atas dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu senarai penduduk di seluruh kawasan di Kedah yang memerlukan bantuan memperbaiki rumah akibat banjir dan mahu Umno Kedah menyelesaikan masalah dalaman di beberapa Umno bahagian di Kedah.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah enggan mendedahkan Umno bahagian mana yang menghadapi masalah dalaman tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata beliau telah berbincang mengenai masalah yang dihadapi Pulau Pinang dan kaedah yang perlu digunakan untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

"Perdana Menteri juga telah bertanya kepada Umno Pulau Pinang mengenai status projek-projek yang dijanjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada pilihan raya umum yang lepas," katanya.

Secara keseluruhan, prestasi Umno Pulau Pinang tidak menghadapi sebarang masalah kerana mereka selalu turun padang dan rakyat negeri itu kini telah sedar bahawa pemerintahan pembangkang jauh lebih buruk berbanding pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata perjumpaan anggota Umno Selangor dengan Perdana Menteri banyak membincangkan mengenai perkembangan di kawasan masing-masing.

"Umno Selangir kini sedang giat meningkatkan jumlah anggota Umno sebagaipengundi, terutamanya di kalangan golongan muda di Selangor.

"Kita yakin dalam masa yang terdekat ini dengan kesungguhan yang sedia ada kita akan berjaya mendaftarkan ahli-ahli Umno kita sebagai pemilih terutamanya ahli muda yang berusia 21 tahun dan ke atas," katanya.

Ditanya sama ada Umno Selangor menetapkan sebarang tempoh masa untuk mendaftarkan anggota-anggotanya sebagai pengundi, beliau berkata setakat ini tempoh masa ditetapkan tetapi ia akan dijalankan secepat mungkin dan diberi keutamaan oleh Umno Selangor.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan