26 Februari 2011

ENIGMA KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

ENIGMA KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA
Written by Admin-sabahkini.net

Oleh: ROBIN C. HOOK

SARAWAK, satu fokus utama penulisan ikhlas dan lensa penceritaan pula disasarkan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia buat tatapan kita di awal tahun 2011. Sebelum saya melontarkan suara-suara dari hayunan tangan yang mungkin dianggap merepek oleh sebilangan pembaca.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf jika semua kajian, penilaian, serta semua aspek komunikasi yang saya gunakan untuk mencari maklumat akan mungkin dikatakan berunsur hasutan atau penipuan. Tetapi hakikat sebenar semuanya datang dari rasa hati serta keluhan-keluhan dari mereka yang menyarung seragam Biru Muda Bergaris Kuning di bahu.

Dari kaca mata saya, perlantikan Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof sebagai Ketua Pengarah Kastam Malaysia merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh Kerajaan dan Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia.

Suasana kesilapan ini cukup dirasai bahangnya meledak ke seluruh pelusuk Sarawak terutamanya di semua Bahagian Perluasan Empayar mereka di sekitar Sibu, Bintulu, Miri hingga ke Kawasan Limbang serta Lawas.

Mungkin pembaca akan tertanya-tanya bahang apa yang cuba sayas tonjolkan di sini? Apa lagi kalau bukan ‘RASUAH’ atau sedap diucap dengan bahasa pasar ‘KANTAU'.

Satu pembohongan jika tauke-tauke besar, para penyeludup yang memegang standard ‘A Class’ sehinggalah ke ‘C Class’ mahupun individu-individu kecil yang melakukan urusniaga terlarang tidak mengenali Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof.

Sungguh mesra dan senang diucap oleh lidah-lidah bukan melayu dengan nama Khalid memberi satu warna serta sinar cerah kepada para penyeludup untuk menyambung aktiviti warisan serta khazanah dunia ini.

Lihat dan periksa sendiri ‘bala tentera’ kerahannya di semua stesen Sibu, Bintulu, Miri dan sebilangannya di Kuching serta Tebedu. Ada yang bertugas lebih 15 tahun di Bahagian Pencegahan. Persoalannya kini kenapa Pencegahan dijadikan menu utama?

Jawapannya senang sahaja, kerana Bahagian itulah yang agak bahaya tetapi senang diatur. Kebanyakan pegawai di bahagian penguatkuasaan adalah hasil daripada perlantikan Khalid sendiri.

Contoh paling ketara adalah Dato’ Materang dilantik sebagai Penolong Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan; Supian Sanusi juga orang kuat Khalid khabarnya tidak lagi dilantik sebagai Pengarah Kastam dan berpuluh lagi Pegawai pencegah yang berada di Bahagian Pencegahan lebih dari 15 Tahun.

Nampak sungguh kekayaan serta timbunan kemewahan terpampang jelas di mata kami yang sama menyarung seragam seperti mereka yang khabarnya dihalalkan oleh Khalid ini. Bukan cemburu, jauh sekali iri hati, tapi sakit sekali hati bila sering mendengar suara-suara awam yang sering berkata "Ahhhh.... Duit Kantau Mana Tidak Senang," sedangkan kami yang tidak ikut serta, turut menerima impak yang sama.

Umpama Segitiga Bermuda yang kenyang menelan puluhan kapal-kapal dan pesawat adalah satu perbandingan terbaik untuk menggambarkan persamaanya dengan pegawai-pegawai yang bertugas di Pelabuhan Sibu, Bintulu dan Miri.

Seperti misteri kehilangan kapal-kapal yang melalui Segitiga Bermuda, begitu jugalah misteri bagaimana barang-barang terlarang seperti rokok, mercun dan minuman keras secara lancarnya dapat membolosi pengimbas yang boleh dikatakan canggih.

Tetapi secanggih manapun sistem atau peralatan yang ada, segalanya tidaklah sekuat serta secanggih mana berbanding arahan yang diberikan oleh Khalid. Dengan anugerah yang Tuhan beri, tangan menekan, mulut berbicara terus kepada cuping telinga yang mendengar dan mata yang melihat dikaburkan cuma kerana sekeping kertas yang dianggap bermaruah.

Sarawak dijerebukan oleh asap-asap rokok pelbagai jenama seperti Rave, Parkway, Di-gi dan berpuluh lagi jenama lain serta dibanjiri beer atau minuman keras seludup yang semuanya ‘Sah’ masuk dari ketiga-tiga pelabuhan ini.

Adik abang yang berlainan bangsa sering bekerjasama untuk merealisasikan misi penyeludupan ini. Sering dilabelkan sebagai Gabenor dan Raja-Raja Sarawak nama-nama gah seperti Mr.Koh, Mr.Goh dan Acheek adalah saudara tidak sebangsa kepada Khalid, tapi hakikatnya mereka sehati dan sejiwa.

Satu khabar lagi dari Miri, pada tahun lepas Pihak SPRM telah melakukan satu tangkapan ke atas penyeludup Chicken Wing yang didalangi oleh orang kuat Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof ini. Namun paling menyedihkan apabila kes ini ditutup semata-mata kerana seorang daripada pengarah syarikat itu adalah isteri Datuk Khalid sendiri.

Sekali lagi kemenangan berpihak kepada ‘Sekeping Kertas’ yang dianggap bermaruah. Khabarnya lagi pegawai SPRM yang mengemudikan kes ini telah memesongkan layarnya ke arah sekeping kertas yang dianggap bermaruah. Jika ini bukan fitnah lagi, khabarnya ratusan ribuan ringgit diberikan kepada pengemudi kes ini oleh seorang ‘Tokan Besar’ yang bernama Thomas Hwa yang mana merupakan rakan kongsi Datuk Khalid.

Dari Miri kita ke Kuching pula. Maklumat yang perolehi dari sahabat saya di sana menyatakan bahawa semasa Datuk Khalid menjadi Pengarah Kastam Sarawak, semua bahan binaan dan peralatan luar/dalam bangunan untuk mendirikan Bangunan Masja tidak dibayar cukai Kastam semasa dibawa masuk melalui Pelabuhan Senari.

Semua proses ini diuruskan oleh Dato Materang Suhaili yang merupakan Timbalan Penguatkuasa pada masa itu. Untuk merialisasikan program ini mereka telah melantik seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Senari bernama Jahid. Sekali lagi ia dapat dikelaskan sebagai ‘HARAM’.

Bukan sewenang-wenangnya saya menuduh atau sengaja menyebarkan khabar angin. Tapi bagi kami yang berkhidmat di dalam satu Jabatan, kebenaran serta ketelusan amat kami perlukan. Bukan untuk meminta ‘share’ ke atas aktiviti tidak bermaruah ini, tapi harap-harap kebenaran akan terbukti. Susah sangatkah kita ingin mencari kebenaran?

Dengan sistem kita yang canggih, semak sahaja semua pertikaian yang ada. Dari aspek perlantikan, penutupan kes oleh SPRM, pembinaan Bangunan Masja sehinggalah ke kes-kes penyeludupan dari pelabuhan-pelabuhan di Sarawak. Sekali ini sahaja, cuba kuatkan semangat dan abaikan wang ringgit dahulu demi anak-anak bangsa kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan