16 Februari 2011

CERITA DISEBALIK SULTAN SULU?

BATALKAN KP DAN KERAKYATAN PATI

Oleh: MAIL MATHEW

NAIB PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin agar segera menyelesaikan isu tertunggak projek pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana selagi tidak diselesaikan secara mutlak, ia merupakan ‘ibu segala masalah jenayah’ di Sabah; malah akan menjadi lebih parah jika keadaan sedemikian berterusan.

Lagi pun tegas Jimmy, masalah tersebut sudah menjangkau lebih 20 tahun berterusan begitu sahaja, namun pihak terbabit seperti KDN sekadar mampu ‘menyibuk’ terutama sekali bila Pilihanraya umum semakin hampir, tetapi hasilnya kosong kerana tidak ada keseriusan tindakan dilakukan. Apa yang jelas aksi pihak terbabit boleh diibaratkan sebagai ‘lips service’ semata-mata.

“Segala-galanya ibarat bola penyelesaian kepada masalah Sabah ada di tangan Hisyamuddin kerana beliau boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja jika benar-benar ikhlas dan telus untuk membantu menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat Sabah lebih 20 tahun lalu. Apa lagi bukti lain yang perlu diminta Hisyam, sedangkan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Wilfred Mojilip Bumburing telah serahkan memorandum berhubung projek pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PATI sebagai bukti dakwaan itu,” tegas Jimmy.

Tegas Jimmy lagi, tindakan Bumburing menggesa Kerajaan Pusat khususnya KDN supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyelesaikan masalah imigran di Sabah, merupakan suatu langkah terbaik yang wajar disambut dengan baik dan bukan menolak; sebaliknya harus mengambilkira pelbagai aspek, khususnya dari segi kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku baru-baru ini, apabila seorang peniaga warga Filipina, Datu Akjan Datu Ali Muhammad yang mempunyai dua kerakyatan menabalkan dirinya menjadi pewaris Kesultanan Sulu; tetapi dalam masa yang sama memiliki kerakyatan di Filipina dan mempunyai Kad Pengenalan Malaysia.

Tindakan Akjan itu, seolah-olah mempersendakan undang-undang yang sedia ada di negara ini dengan begitu mudah baginya mendapatkan Kad Pengenalan sedangkan Akjan mendakwa beliau adalah rakyat Filipina dan pewaris kepada Sultan Sulu.

“Disebabkan kelemahan kerajaan pusat, khususnya KDN menjadikan pemilikan Kad Pengenalan dan kerakyatan negara ini boleh diperolehi dengan jalan mudah, malah selepas Datu Akjan mengistiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, sudah tentu rakyat Filipina yang memiliki Kad Pengenalan yang jumlahnya ratusan ribu akan mengikrarkan ketaatan diri mereka kepada Akjan dan selepas itu apa akan terjadi kepada keselamatan di Sabah?” tanya Jimmy.

Mungkin juga masih belum terlambat tambah Jimmy, jika Hishamuddin mengubah haluan terhadap keputusannya sebelum ini dan membatalkan sahaja pengeluaran Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI berkuatkuasa serta merta.

“Mungkin itulah satu-satunya jalan penyelesaian masalah tersebut sebelum ia menjadi parah. Hishamuddin merupakan sandaran bagi penyelesaian mutlak terhadap segala galanya. Jika Hishamuddin masih berkeras juga maka sudah tentu rakyat akan menyalahkan beliau sebagai dalang penyiksaan kepada rakyat di bumi Sabah sepanjang hayat,” jelas Jimmy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan