18 Februari 2011

Belanjawan: Singapura Mahu Tingkatkan Pendapatan Warganya

Belanjawan: Singapura Mahu Tingkatkan Pendapatan Warganya

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 18 Feb (Bernama) -- Singapura bercadang meningkatkan pendapatan kesemua warganya sebanyak 30 peratus, dari segi sebenar tempoh dekad ini, kata Menteri Kewangan Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berkata untuk merealisasikannya, ekonomi Singapura mesti berkembang, perniagaan seharusnya ditambahbaik dan pelaburan perlu ada untuk menambah kepakaran, kemahiran dan mutu perkhidmatan dalam setiap pekerjaan.

Membentangkan Belanjawan 2011 Singapura, bermulai 1 April di Parlimen di sini pada Jumaat, Shanmugaratnam berkata langkah itu merupakan satu-satunya cara yang membolehkan negara ini meningkatkan pendapatan dan memperbaiki standard kehidupan, termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

Belanjawan itu turut memperincikan pakej untuk membantu Singapura mengharungi kos tinggi kehidupan dan memperbaiki standard kehidupan, bernilai kira-kira S$6.6 bilion, yang mana S$3.2 bilion akan disediakan untuk isi rumah tahun ini di bawah "The Grow and Share Package", dengan lebih menjurus kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Baki S$3.4 bilion akan diperuntukkan untuk pelaburan sosial jangka panjang untuk meningkatkan kehidupan warga Singapura, dengan fokus kepada menyokong persekitaran penjagaan jangka panjang.

Shanmugaratnam berkata negara ini juga akan menjadi ekonomi maju kelas pertama sedekad mulai sekarang, dengan kemahiran canggih dan pendapatan tinggi serta perusahaan berdaya saing global, jika mereka berjaya dalam usaha-usaha ini.

Beliau berkata ekonomi Singapura, selepas dua tahun yang begitu lemah (2008 dan 2009), tatkala pertumbuhan hampir kepada sifar, telah menunjukkan prestasi luar biasa dengan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang untuk mencatatkan 14.5 peratus pada 2010.

Bagaimanapun, menteri itu berkata yang ekonomi Singapura akan berkembang dengan lebih perlahan tahun ini memandangkan persekitaran luar adalah lebih kompleks.

Beliau berkata walaupun pertumbuhan dalam ekonomi-ekonomi baharu muncul yang menguasai dua pertiga daripada pertumbuhan global dijangka kekal kukuh, ekonomi-ekonomi ini turut menyaksikan tekanan inflasi.

Harga-harga makanan dan komoditi lain telah meningkat dengan ketara, kerana bekalan terjejas oleh keadaan cuaca yang teruk sementara permintaan terus berkembang di China dan mana-mana jua, kata menteri itu sambil menambah situasi politik yang tidak menentu di Timur Tengah turut memacu kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, Shanmugaratnam berkata ekonomi Singapura akan kekal positif dan dijangka berkembang antara 4.0 peratus dan 6.0 peratus pada tahun 2011, melepasi anggaran trend pertumbuhan antara 3.0 dan 5.0 untuk 10 tahun akan datang, sekali gus mencerminkan momentum yang berterusan dalam ekonomi.

Bagaimanapun, inflasi masih menjadi kebimbangan utama untuk semua warga Singapura tahun ini, terutamanya untuk keluarga berpendapatan rendah memandangkan negara ini mengimport hampir kesemua produk yang mereka gunakan, kata menteri itu.

Beliau menambah kali ini, makanan, utiliti dan caj lain berkaitan bahan bakar menjadi kebimbangan kebanyakan warga Singapura.

Beliau berkata inflasi tahun ini ialah sekitar 3.0 peratus hingga 4.0 peratus, lebih tinggi dalam searuh pertama sebelum menyederhana pada lewat tahun.

Inflasi Indeks Harga Pengguna ialah 4.6 peratus, tahun-atas-tahun, pada bulan Disember 2010.

Menteri itu berkata untuk menyederhanakan tekanan inflasi bertempoh sederhana, kerajaan telah membenarkan dolar Singapura mengukuh berbanding sekumpulan mata wang asing sejak 18 bulan lepas dan ini membantu menangani inflasi dalam barangan yang diimport.

Bagaimanapun, beliau berkata menggunakan kadar tukaran untuk mengimbangi kenaikan harga secara tiba-tiba, seperti yang dilihat dalam harga minyak sejak enam bulan lepas, memerlukan kenaikan ketara dolar Singapura dan ini akan menjejaskan para pengeksport.

Shanmugaratnam juga berkata untuk mengukuhkan masyarakat Singapura, langkah-langkah seterusnya akan diambil bagi memastikan masyarakat terangkum di mana setiap orang akan menyumbang dan berkongsi kemajuan negara, tidak kira dari mereka akan bermula.

Belanjawan itu akan turut memperkenalkan langkah-langkah cukai untuk meningkatkan sokongan kepada warga Singapura berpendapatan rendah dan sederhana, kata menteri sambil menambah anak-anak mereka akan dibantu untuk mendapatkan permulaan hidup yang terbaik menerusi pendidikan, daripada peringkat pra-persekolahan hinggalah ke peringkat pendidikan tertiari.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan