15 Mei 2010

DAP harap tembusi kawalan sosial di rumah panjang

DAP harap tembusi kawalan sosial di rumah panjang

Wong Shu Qi | May 14, 2010 07:03:58 pm

PRK Sibu menyaksikan betapa pentingnya "peranan" orang asli dalam menentukan kesudahannya, selepas PRK Batang Ai, Sarawak. Selain meminjam jentera rakan parti ketika berkempen, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sendiri turun ke padang Sibu, untuk melonjakkan undi kedua-dua komuniti Cina dan orang asli.

Namun, halangan yang melintang di depan DAP dan Pakatan Rakyat adalah, kawalan sosial yang bukan sahaja memagari rumah panjang, malah seluruh negeri Sarawak. Sebelum hari penamaan calon PRK Sibu, Special Branch (SB) telah kelihatan di seluruh pelusuk Sibu. Malah, wartawan media asing diekori oleh SB, setelah melangkah keluar dari lapangan terbang.

Diekori SB: Amalan biasa

Pada 9 Mei, Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang menyusuri Sungai Igan untuk melawat ke dua perkampungan orang Melanau dan sebuah rumah panjang Iban. Pada ketika penduduk kampung melambai tangan mengucapkan selamat tinggal kepada Lim Guan Eng, SB yang menyusul lantas menangkap gambar penduduk dengan kamera. Penduduk yang ketakutan terus memaling dan meninggalkan tebing sungai.

Pengarah kempen PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata, "Ini cara mereka. Mereka akan mengambil gambar di rumah panjang, kemudian tunjukkan kepada Taib Mahmud atau Najib, melaporkan bahawa rumah panjang ini tidak menyokong BN tetapi menyokong PR. Tuah rumah panjang (ketua) menjadi tertekan."

Sememangnya, logo roket paling banyak kelihatan di rumah panjang kali ini, sekiranya dibandingkan dengan mana-mana pilihan raya yang berlangsung pada setengah abad yang lalu. Anda mungkin mendapati logo dacing dan roket menjelma berselang di perkampungan yang mempunyai beberapa dermaga. Poster DAP tertampal di rumah, dan bendera DAP berkibaran antara rimbunan belukar.

Namun demikian, suasana ketakutan terus menyelubungi Sibu. Misalnya, Rumah Rassau yang mempunyai 58 orang ahli DAP juga menyimpan bendera DAP sebaik sahaja Lim Guan Eng meninggalkan kawasan itu. Ketika ditanya wartawan, Lim Guan Eng yang sempat melihat apa yang berlaku hanya berkata, "Macam ni lah, apa boleh buat? Sekurang-kurangnya saya dibenarkan masuk (ke Rumah Rassau)."

Berkongsi pengalaman Pulau Pinang

15% pengundi Sibu terdiri daripada orang Iban, yang membawa kepada jumlah 8,665 orang. Hampir kesemuanya penganut kristian. Pada 9 Mei, Lim Guan Eng sempat melawat dua kawasan Melanau-Kristian dan satu rumah panjang Iban.

Lim Guan Eng disambut meriah di Kg. Bungan Kecil yang mempunyai kira-kira 170 orang pengundi. Walaupun hanya seorang penganut Kristian dalam perkampungan tersebut, namun hubungan antara penduduk agak mesra. Lim Guan Eng bergegas ke Kg.Bungan Besar yang mempunyai kira-kira 300 penduduk setelah singgah untuk 30 minit.

Berbanding dengan "sambutan yang memberangsangkan" di Kg.Bungan Kecil, kebanyakan penduduk Kg.Bungan Besar didapati agak dingin. Malah, sesetengah pengundi muda menyatakan bahawa mereka sebenarnya tidak membenci Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang diberi gelaran "Pak Uban".

Taib Mahmud yang memerintah Sarawak untuk 29 tahun telah menguasai pembanguan sosial-ekonomi negeri tersebut, menandingi kedudukan seolah-olah seorang "raja" dalam sanubari pengundinya. Pada hakikatnya, komuniti Cina mungkin juga berfikiran sedemikian.

Bagaimanapun, kedudukan Taib Mahmud tidak tinggi dalam komuniti Cina, jika dibandingkan dengan kaum asli. Seorang peniaga Cina memberitahu MerdekaReview, biarpun tidak senang dengan tindakan monopoli Pak Uban, tetapi komuniti Cina tidak berani menyuarakannya kerana takut diambil tindakan. Seorang wanita Cina dari Sarikei yang berpindah ke sini sejak 20 tahun lalu ketika ditanya wartawan, hanya berkata, "Saya tidak tahu, saya tidak tahu semua ini!"

Malah, pemandu teksi juga mendiamkan diri dan enggan mengulas banyak.

Bahang isu tanah lebih hangat

Penduduk akan lebih berani meluahkan ketidakpuasan mereka apabila dikunjungi pemimpin pembangkang. Zepid, 40, yang tinggal di rumah panjang di lembah Sungai Igan berkata, "Masalah tanah masih menjadi kebimbangan penduduk tempatan." Jelas, tanah tanpa hak milik cukup meresahkan penduduk di situ.

Malah, kemudahan jalan raya dan lampu jalan yang tidak sempurna membawa kerumitan kepada penduduk kampung. Jikalau berlakunya kecemasan pada waktu malam, mereka gagal melakukan apa-apa. Namun, Zepid yang jelas memihak kepada pembangkang tidak berani untuk diambil gambar oleh wartawan.

Tanah adalah masalah penting untuk kaum asli. Ia adalah senjata PR untuk menyerang BN, pada masa yang sama, juga alat BN untuk mempertahankan kerusi ini.

Nicholas Bawin yang sibuk melawat rumah panjang sepanjang minggu ini, malah masak dengan masalah tanah memberitahu MerdekaReview, "Respon orang asli terhadap kempen kita sangat baik. Saya tahu BN memberi tekanan yang banyak, juga menabur wang yang banyak. Tetapi rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya. Misalnya mereka kehilangan tanah, mereka benar-benar marah."

Tanah, tanah, tanah - masalah tanah adalah masalah kehidupan untuk kaum asli. Semalam, ketika PM Najib melawat ke rumah panjang Sebastian Onggoh, beliau terus menyahut permintaan penduduk tempatan dengan memperuntukkan 6,000 hektar tanah untuk kegunaan ekonomi pertanian.

Nicholas Bawin menjangkakan peningkatan undi Iban kepada Pakatan Rakyat, "Saya yakin undi Iban akan bertambah. Kami menyuarakan masalah yang terpendam dalam hati mereka. Kamilah orang yang mempertahankan kepentingan mereka!"

Jika dibandingkan dengan isu tanah, isu penggunaan kalimah Allah jelas tidak mencungkil prihatin yang luas di kalangan Iban-Kristian. "Ini kerana tiada larangan untuk menggunakan kalimah Allah di Sarawak, jadi masalahnya tidak besar," jelas Nicholas Bawin.

Peningkatan undi kaum asli untuk PR

PKR menggariskan matlamat undi Iban pada paras 35%, iaitu 5.5% daripada jumlah undi keseluruhan. Staf PKR yang bergiat di peringkat akar umbi, Angki anak Nigang bersikap optimis bahawa PR mampu menjangkau matlamat tersebut. Pada PRU ke-12, kedua-dua orang calon PR hanya memperolehi 20% undi Iban.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Angki anak Nigang berkata, keadaan sudah memperlihatkan perubahan, apabila pemimpin PR dibenarkan memasuki kawasan Iban. Namun demikian, pembangkang langsung tidak dapat mendarat sebelum ini. Lebih-lebih lagi, semakin ramai orang yang keluar bekerja dan menuntut, dan ia mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

Angki menganggap bahawa meskipun PR tewas dengan majoriti 1,000 hingga 2,000 undi pada akhirnya, namun ia cukup untuk dianggap sebagai kemenangan moral kepada PR. Malah, seandainya PR menang dengan majoriti 100 atau 200 undi, ini bermakna Richard Wong yang menyarung jersi PR sebenarnya menang banyak.

Kawalan sosial di rumah panjang

Jika dilihat kepada rekaan rumah panjang orang Iban, kita akan memahami falsafah di sebaliknya. Puluhan keluarga ditempatkan sepanjang koridor rumah panjang, dan tuah rumah (ketua) berada di tengah. Gambar yang DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri digantung pada dinding. Di papan notis pula, anda akan mendapati notis daripada pemimpin Iban SUPP, Andrew Shirling.

Rekaan rumah panjang ini pada asalnya adalah satu mekanisme melindungi diri daripada penembusan kaum asing. Malah, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP Liew Chin Tong menganggap ia sebagai salah satu cara kawalan sosial.

Tuah rumahnya hanya perlu melangkah keluar, menoreh ke kiri dan kanan untuk mengetahui kesemua aktiviti yang berlangsung dalam perkampungannya. Apa yang menarik di Rumah Rassau, rumah "tuah rumah" menjadi tempok persempadanan kem antara BN dengan PR.

"Pada hakikatnya anda diberitahu bahawa anda sedang dipantau. Jadi, kami sebenarnya tahu seandainya anda menyokong pembangkang," Liew Chin Tong menafsir mesej yang tersirat daripada rekaan sedemikian.

"Biarpun kerajaan gagal mengawasi kesemua orang, tetapi ia boleh menghukum sebahagian orang untuk menyampaikan mesej bahawa kesemua orang mungkin dipantau," katanya.

Liew Chin Tong mengulas dengan lebih lanjut, bahawa kawalan sosial di Sarawak sebenarnya bergantung kepada kawalan kerabat terhadap model pekerjaan dan rumah panjang di situ. Oleh itu, rumah panjang ini menyerupai konsep "Panopticon" yang direka Jeremy Bentham, dikembangkan oleh Michel Foucault. Masyarakat di sini diumpanakan sebagai apa yang digambarkan oleh George Orwell dalam karyanya 1984, di mana "big brother" berada di mana-mana.

Kesan keputusan PRK...

Seandainya PR berjaya menembusi kubu BN di Sibu, maka kemenangan ini akan membawa makna yang cukup besar. Ia sebagai petanda bahawa kaum asli telah berani untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan. Seandainya mentaliti penduduk sini diatasi, maka ia akan membawa padah kepada BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kelak.

Sebagaimana yang dikatakan Nicholas Bawin, kebanyakan orang Iban tidak menyukai Taib Mahmud, "apa yang disenangi adalah wang dan kuasa di sebaliknya". Namun, apa yang dikhuatiri oleh PR adalah wang yang ditaburkan berikutan lawatan Najib (gambar kanan) ke Sibu. Jadi, ia kekal sebagai tanda soal sama ada undi Iban boleh dilonjakkan ke paras 30%.

Selain itu, pendekatan Lim Guan Eng yang kelihatan lebih mesra berbanding Taib Mahmud mungkin membawa penambahan undi Iban kepada PR. Nicholas Bawin berkata, "Lim Guan Eng semestinya membawa impak. Latar belakangnya bersih, ada kredibiliti, berhemah. Tidak seperti Taib Mahmud, dikelilingi polis di mana beliau berada. Pemimpin politik PR semuanya mudah, mesra kepada rakyat."

Pengkaji politik, Wong Chin Huat juga berkata, selaku Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak duduk di sofa yang selesa, sebaliknya duduk bersama dengan penduduk di lantai, malah meminjam tandas kampung sebelum meninggalkan tempat itu. Untuk Wong Chin Huat, gerak geri ini tidak boleh dipandang remeh.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview yang membuat liputan dari Sibu, Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada teks asal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan