19 Mei 2009

NEGARA KITA SETARAF ZIMBABWE....

Umno/BN hilang maruah diteraju pemimpin dayus

Oleh Mat Zahari Ali

KEPUTUSAN jemaah kabinet yang diterajui Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri, Najib Razak untuk tidak menyertai Pilihanraya Kecil N.12 Penanti bukan sekadar mencipta satu sejarah sejak 63 tahun Umno bertapak dinegara ini malah menjadi penanda aras yang membuktikan umno/BN telah kehilangan kepemimpinan serta maruahnya.

Dalam dimensi yang sama, kepimpinan parti yang menerajui negara ini sejak lebih 52 tahun itu seolah-olah telah direntap oleh suatu kuasa ketakutan sehingga menghilangkan jati diri dan keperkasaannya . Ini sekali gus meletakkan segala harapan dan sandaran yang menjadi tunjang kepada keyakinan rakyat selama ini terhadap parti dan pemimpin-pemimpinnya hilang dan hancur hanya disebabkan oleh sebuah keputusan dari kepimpinan yang tidak sanggup merempuh cabaran, tidak punya semangat juang dan bersikap dayus.

Cerminan yang dapat disimpulkan dari keputusan dayus itu adalah suatu pengiktirafan yang tidak dapat disangkal lagi bahawa lawan Umno/BN iaitu Pakatan Rakyat terlalu kuat sehingga tidak sanggup ditentang oleh Umno ataupun mana-mana komponen BN pun.Pengiktirafan ini tidak pernah diperoleh oleh Pembangkang sebelum ini. Ini juga merupakan sejarah baru yang memihak kepada musuh BN itu.
Inilah yang nyata dapat disedari dan lihat oleh rakyat sejak Najib memegang tampuk kepimpinan negara dari Tun Abdullah pada Mac lalu.

Berdasarkan personalitinya, Najib adalah seorang pemimpin yang lahir dalam keluarga bangsawan yang mana perjalanan politiknya sentiasa dihampari permaidani merah.Najib tidak pernah dicabar ketika dalam Umno.Pengaruh Anwar Ibrahim yang mana Najib juga tergolong dalam team wawasan pimpinan Anwar ketika Anwar didalam Umno dahulu meletakkan beliau lebih bernasib baik dalam mencipta nama dalam Umno.
Najib yang terkenal dengan sikap ‘play safe’ yang pernah disindir oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno termasuk timbalan beliau Muhyiddin Yassin, memperlihatkan imej kepimpinan beliau hanya sekadar menumpang ‘aura’ bapa beliau, Tun Razak.

Kegagalan Najib untuk meletakkan calon BN di penanti bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Umno/BN yang membenarkan kenyataan bahawa Umno semakin daif malah semua komponen dibawah BN juga semakin longlai walhal menang dan kalah adalah adat bertanding.
Pakatan Rakyat yang dibarisi PAS, DAP dan KeADILan telah mengalami detik-detik keperitan akibat tewas dalam pilihanraya hampir 50 tahun sebelum mencatat kebanggaan pada Pilihanraya Umum Mac tahun lalu.

Kesan dari kesabaran, keperkasaan dalam mempertahan maruah parti serta dipimpin oleh pemimpin yang berani menghadapi pelbagai halangan dan fitnah seperti Anwar Ibrahim, Lim kit Siang dan Hadi Awang serta berpulluh-puluh lagi pemimpinan yang pernah meringkuk dipenjara serta di aniaya akhirnya PR berjaya meyakinkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Bekas Setiausaha Amerika, Hendry Kissingger berkata kekuatan sesebuah parti politik itu 85 peratusnya terletak pada ketahanan jiwa pemimpinnya, 10 peratus terletak pada orang bawahannya dan lima peratus lagi terletak pada lambang partinya.


Tindakan Najib mengaku kalah sebelum bersabung secara jangka panjangnya akan melibatkan krisis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau melebihi dari situasi parti pimpinanya sering kalah dalam pilihanraya.

Rakyat menyedari bahawa seorang pemimpin yang tulin adalah mereka yang berani dan sanggup menghadapi kesukaran, keiaban, fitnah dan pelbagai resam cabaran. Kebanyakan negara di dunia sedang bergelut menghadapi tekanan ekonomi akibat krisis ekonomi dunia tetapi Malaysia sedang berada dalam indeks yang lebih merbahaYa kerana selain krisis ekonomi, krisis politik dan perlembagaan dinegara ini sedang meniti saat yang amat menakutkan.


Krisis perlembagaan di Perak telah meletakkan negara ini sebaris dengan Zimbabwe dan beberapa negara Afrika lain kata Lim Kit Siang. Institusi polis yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara serta memelihara keluhuran perlembagaan di negara ini telah menodai amanah tersebut dengan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei lalu. Pada 3 Mac lalu pula bertindak menghalang Adun dari mengadakan persidangan sehingga sejarah tercipta bila Adun terpaksa bersidang di bawah pokok.

Ketidak stabilan ekonomi yang disertai oleh kemelut perlembagaan serta salah guna pihak polis meletakkan negara dan rakyat sedang berada diambang yang terlalu takut untuk dibayangkan.Pemimpin yang tidak bermaruah dan bersikap dayus mampu dan akan bertindak melarikan diri sekiranya apa-apa berlaku terhadap negara ini. malah pemimpin dayus sebegitu akan sanggup mempergunbakan apa sahaja termasuk polis, tentera dan istana untuk dijadikan benteng pertahanan.

Ini tidak menghairankan setelah RM67 billion wang rakyat dan wang negara telah berjaya diperoleh mandat untuk dikuasai. Kuasa wang tersebut juga akan mampu dibeli untuk memujuk, menyogok dan mengugut bagi mendapatkan kuasa kembali walaupun itu bukan restu dari rakyat.

Saidina Ali berkata pemimpin atau orang yang dayus ibarat orang yang hampir karam dan akan mengapai apa sahaja yang ada untuk menyelamatkan diri. Menurut Saidina Ali lagi, pemimpin yang dayus tidak lagi mempertikaikan pertimbangan baik dan buruk serta haram dan halalnya kerana matlamatnya hanya satu aiatu untuk menyelamatkan diri.Apa yang lebih menakutkan kata Saidina Ali, Pemimpin yang dayus tidak akan mencium syurga.

Mat Zahari Ali ialah Editor Berita Akhbar Mingguan, Suara Keadilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan