Naib presiden PPP sertai PKR |
Abdul Rahim Sabri-malaysiakini |
Naib presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), V Nagarajan menyertai PKR bersama 6,000 ahli selepas lapan bahagian dengan 62 cawangan PPP di Kedah dibubarkan. Lapan bahagian yang dibubarkan itu ialah Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Pokok Sena, Kulim, Baling, Sungai Petani dan Merbok. Perkara itu diumumkan oleh anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Johari Abdul yang juga ahli Parlimen Sungai Petani malam ini. Beliau membuat pengumuman itu dalam satu majlis ceramah di Dewan Hock Seng, Sungai Petani, dalam DUN Bukit Selambau. Nagarajan kemudiannya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PKR kepada Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Nagajaran memberitahu pemberita kemudiannya bahawa hari ini beliau menyerahkan 300 borang keahlian manakala bakinya akan diserahkan selepas pilihanraya kecil Bukit Selambau pada 7 April depan. Johari juga mengumumkan kemasukkan ketua Umno cawangan Kampung Jerai, Marzuki Md Akib bersama 51 ahli cawangan tersebut menyertai PKR. Turut menyertai PKR malam ini ialah pemimpin masyarakat siam di Bukit Selambau, Nao Bai Seong bersama 100 orang masyarakat siam. Dalam ucapannya, Anwar berkata beliau akan membuat satu lagi pengumuman penting pada 7 April depan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan