Seterusnya, kekalahan itu juga mesti dipikul oleh kepimpinan Perhubungan BN Kedah. Jadi, bagi memulihkan kembali kepercayaan penduduk negeri terutama di kalangan anggota Umno, Datuk Seri Mahadzir Khalid perlulah letak jawatan supaya presiden Umno boleh memilih pengerusi baru. Kekalahan calon BN, Datuk S. Ganesan, 50, dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau pada 7 April 2009 banyak berpunca daripada kelemahan kerajaan BN Kedah semasa berkuasa dahulu di bawah kepimpinan Mahadzir sebagai Menteri Besar ketika itu.
Ini kerana pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memprotes calon BN dengan memberi undi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Manikumar, bukan kerana mahu mengekalkan kerusi kepada PKR sebaliknya mahu "menghukum " kerajaan BN Kedah lalu yang begitu lama berkuasa, tetapi masih tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat. Masalah masyarakat India di Ladang Sungai Getah, Bukit Lembu, masalah orang Melayu yang gagal mendapat bekalan air bersih di beberapa kampung dalam Bukit Selambau, serta masalah penduduk tepi sungai berdekataan pekan Sungai Lalang dan kes-kes mengejutkan yang ditemui semasa rancak berkempen.
Pendek kata, terbongkarlah kisah pemimpin dan wakil rakyat BN yang menang di kawasan itu sebelum ini tidak mempedulikan langsung masalah rakyat setempat!Ketua Umno Bahagian Merbok sebelum ini, Datuk Arzmi Hamid, tewas semasa bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 di kawasan DUN Tanjung Dawai. Beliau juga tumbang sebagai ketua bahagian kerana didakwa gagal bekerja sebagai pemimpin politik.
Ketidakpeduliannya turut menjadi punca kepada mala petaka yang menimpa BN di Bukit Selambau. Kegagalan semua sayap Umno bahagian itu membantu penduduk di kawasan Bukit Selambau mengundang padah yang amat memalukan. Maka, calon BN itu "dihukum" kalah dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau.Sebagai Ketua Bahagian Umno yang menjadi pengerusi BN Bahagian, Datuk Tajol Urus Md Zain dikatakan langsung tidak turun padang menyelesaikan masalah rakyat bersama-sama pemimpin MIC, MCA dan Gerakan.
Apabila kerusi DUN Bukit Selambau diisytiharkan kosong akibat bekas wakilnya, V.Arumugam "melarikan" diri entah ke mana, Tajol Urus hanya sibuk urus menuntut kerusi N25 Bukit Selambau yang dimiliki MIC dikembalikan kepada Umno. Pada mulanya, Tajol menganggap dirinyalah yang paling layak bertanding di kawasan itu. Tetapi, akhirnya akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kerusi DUN Bukit Selambau milik MIC.Kehilangan undi dari kalangan masyarakat India dan Cina dalam pilihan raya kecil N25 Bukit Selambau perlu diletakkan ke atas bahu BN Kedah.
Peratusan pengundian itu juga menjelaskan bahawa ramai penduduk/pengundi menolak BN kerana sebab-sebab yang berpunca daripada kegagalan kepimpinan BN Kedah.Dalam setiap ceramah BN, penceramah hanya menekan kepada kegagalan kerajaan Pakatan Pembangkang melaksanakan tanggung jawab sejak diberi kepercayaan memerintah Kedah selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.
Ceramah-ceramah BN itu sebenarnya banyak mendedahkan kelemahan diri sendiri. BN hanya menyalahkan kerajaan Pakatan Pembangkang kerana belum membawa perubahan. Tetapi, pemimpinnya gagal melihat kelemahan di dalam diri sendiri bahawa selama lebih 40 tahun BN memerintah kerajaan negeri, Kedah masih banyak masalah rakyat yang sering tidak diselesaikan sehinggalah dihukum kalah pada pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.
BN Kedah yang dipengerusikan Mahadzir Khalid perlu menerima kekalahan itu, dan sebagai tanda bertanggung jawab, barisan kepimpinannya harus meletak jawatan untuk memberi laluan mudah kepada presiden Umno dan BN, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik "tokoh" yang lebih dipercayai menerajui BN Kedah. Kini, pemerhati politik di Kedah tidak nampak langsung kemampuan Mahadzir Khalid untuk merampas balik tampuk pemerintahan Kedah dari Pakatan Pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Apa yang berlaku di Bukit Selambau adalah satu peringatan jelas kepada barisan kepimpinan BN Kedah. Anda wajib menyelesaikan dengan ikhlas masalah rakyat dahulu sekiranya mahu memikat balik hati para pengundi. Kepada Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajol Urus pula, ingatlah kemenangan dalam parti bukan ukuran menentukan kemenangan dalam pilihan raya nanti. Renungkanlah: yang pahit itu sudah terbukti menjadi ubat, tetapi yang manis itu jelas membawa penyakit.
BARISAN NASIONAL HARUS BERKEMPEN SEBAGAI SEBUAH PARTI, BUKAN KERAJAAN:
1. Selepas dua pilihan raya kecil sejak Mac 2008, Barisan Nasional (BN) nampaknya masih belum belajar bagaimana hendak mencatur strategi pilihan raya kecil.
2. BN masih lemah dalam usaha mendekati pengundi, lemah menangkis serangan pembangkang, jentera penerangan yang kemarau idea bagi mengutarakan isu.
3. Kelemahan itu makin ketara lagi dengan para petugas yang datang dari negeri-negeri lain yang hadir bukan untuk membantu tetapi lebih sekadar berseronok dan bercuti, sambil mendapat sedikit duit kopi.
4. Masalah anggota BN adalah mereka berkempen sebagai sebuah kerajaan bukannya sebagai sebuah organisasi politik, sedangkan dalam pilihan raya yang bertanding adalah parti.
5. Oleh kerana bertanding sebagai sebuah kerajaan, maka berjanjilah BN untuk melakukan pelbagai bantuan dan projek.
6. Maka, sekarang kedengaran pelbagai bantuan diberikan di Bukit Selambau dan Bukti Gantang, dan pihak kerajaan pun mengumumkan pelbagai lagi projek.
7. Kekadang projek yang diumumkan itu adalah untuk seluruh negara dan bukan untuk penduduk yang sedang menghadapi pilihan raya itu.
8. Bagi pengundi di kawasan pilihan raya kecil itu, apa yang penting bagi mereka adalah masalah setempat segera diselesaikan. Usahlah bercakap tentang projek nasional mahupun internasional sedangkan masalah penduduk setempat pun tidak diambil peduli.
9. Hentikanlah menjaja projek dan bantuan segera. Fahamilah hati naluri rakyat setempat dan bertandinglah secara "gentleman" sebagai PARTI dengan PARTI dan bukannya antara KERAJAAN dengan PARTI POLITIK mana pun.
10. Usahlah sama sekali libatkan jentera-jentera Kerajaan ketika berkempen di mana-mana pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan