19 Mei 2014

SUPP bantah keras permohonan Teras sertai BN

KUCHING - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) membantah sekeras-kerasnya permohonan oleh Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) untuk menyertai BN sebagai parti komponen atau sebarang kerjasama yang dibentuk menggunakan formula BN-Plus.

Presidennya, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP, yang bermesyuarat hari ini, memutuskan bahawa parti itu akan membantah permohonan Teras.

Bagaimanapun, Chin yakin Teras tidak akan berpeluang untuk berbuat demikian kerana permohonannya perlu disokong sebulat suara oleh semua parti komponen BN.

"Menurut perlembagaan parti, permohonan itu perlu dipersetujui sebulat suara oleh setiap pemimpin parti komponen BN, jika tidak anda tidak akan dibenar berbuat demikian dan saya amat yakin perkara itu tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat SUPP di sini hari ini.

Beliau juga mendakwa ramai pemimpin parti komponen beranggapan tindakan membawa Teras ke pangkuan BN adalah sesuatu yang tidak bijak.

Sehubungan itu, beliau berkata SUPP akan meminta sokongan daripada parti komponen lain untuk membantah permohonan Teras.

Chin juga memaklumkan pemberita bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak pernah menyatakan bahawa beliau akan menyokong penyertaan Teras ke dalam BN.

"Ketua Menteri memaklumkan saya beliau hanya mengakui bahawa kumpulan orang Teras ini ingin melakukan kunjungan hormat ke atasnya bagi melahirkan sokongan mereka kepadanya serta BN, dan perkara itu tidak salah.

"Namun beliau tidak pernah menyatakan bahawa Teras akan menyertai BN, kan?" soal beliau kepada pemberita.

Chin berkata pada mesyuarat hari ini, mereka juga memutuskan untuk memecat Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh berkuat kuasa serta-merta kerana mengumumkan dalam sidang akhbar bertarikh 15 Mei bahawa beliau akan menyertai Teras.

Beliau berkata tindakan Wong dianggap boleh menjejas kepentingan SUPP.

"CWC parti juga mendesak Datuk Seri Wong meletak jawatan serta-merta sebagai Adun Bawang Assan dan menteri kabinet negeri atas alasan beliau telah mengkhianati SUPP yang mencalonkannya dan lebih penting, pengundi yang mengundi beliau dalam pilihan raya negeri 2011," katanya.

Chin berkata pihaknya juga akan menulis kepada Adun Bengoh Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina (Adun Opar) dan Johnical Rayong Ngipa (Adun Engkilili) bagi memohon penjelasan sama ada mereka menyertai Teras.

"Mesyuarat hari ini turut menegaskan hak parti terhadap 19 kerusi negeri dan tujuh kerusi parlimen yang diperuntuk kepada SUPP dalam pilihan raya lepas dan perkara ini tidak boleh dirunding," katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot namun dua Adun yang menyokong Chin iaitu Datuk Lee Khim Shin (Senadin) dan Datuk Francis Hardin (Simanggang) tidak hadir.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

supp tak relevenlagi bagi pengundi cina sepatutnya supp ditolak BN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...