20 April 2013

Pusat penamaan calon seluruh negara dibuka 9.00 pagi -10.00 pagi Esok

Pusat penamaan calon seluruh negara dibuka 9 pagi esok



KUALA LUMPUR, 19 April — Kesemua 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan dibuka pada 9 pagi esok selama sejam sebelum ditutup pada pukul 10 pagi.

Proses penamaan calon bermula dengan calon menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU13, 5 Mei ini.

Pegawai pengurus pilihan raya kemudiannya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.

Untuk PRU13, buat pertama kalinya tidak ada lagi tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 5 Mei sebagai tarikh pengundian, dengan calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen, bermula esok selepas proses penamaan calon.

Pusat-pusat penamaan calon kebanyakannya ditetapkan di Pejabat-Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Dewan Orang Ramai dan bangunan sekolah.

Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR menasihatkan semua calon supaya datang awal ke pusat penamaan calon masing-masing.

Selain memastikan semua borang diisi dengan lengkap, calon juga dinasihatkan meneliti syarat-syarat kelayakan menjadi calon seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 47 dan Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan.

SPR turut mengingatkan calon supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong bagi mengelak berlaku insiden provokasi, selain tidak dibenarkan membawa sebarang alat muzik atau pembesar suara.

Pemimpin parti politik, calon, penyokong parti, badan bukan kerajaan dan orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, tumpuan kali ini lebih terarah di Lahad Datu yang terletak dalam Parlimen Silam, kawasan yang dicemari insiden pencerobohan militan Sulu Mac lepas, dengan proses penamaan calon di situ dijangka berjalan seperti biasa.

Tinjauan Bernama mendapati suasana di sekitar daerah ini meriah dengan kibaran bendera-bendera parti, dan orang ramai terus menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa rasa takut atau terancam.

Persiapan rapi juga telah dilakukan dengan kerusi dan meja kaunter untuk proses penamaan calon memenuhi Dewan Tun Mustapha yang menjadi lokasi pusat penamaan calon Parlimen Silam dan tiga DUN - Tungku, Lahad Datu dan Kunak.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Shamsuddin Mat mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kekecohan sepanjang proses penamaan calon itu.

“Saya tidak dapat menduga apa yang akan berlaku esok, namun saya akan pastikan proses (penamaan calon) itu berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata polis juga akan membuat laluan berasingan untuk setiap penyokong parti yang bertanding bagi mengelakkan kesesakan.

Seramai 77 anggota dan pegawai polis akan berkawal sepanjang proses itu esok, dibantu 16 anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah, katanya.



Di KOTA BHARU, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohamad Mahmud berkata 14 pusat penamaan calon di buka di negeri itu esok.

Proses penamaan calon itu dijalankan di Pejabat-pejabat Tanah dan Jajahan, Majlis Perbandaran serta sekolah, katanya.

Bercakap kepada Bernama di sini, Mohamad juga berkata sebanyak 517 pusat pengundian akan dibuka pada 5 Mei, yang melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah dan balai raya.

Katanya sebuah helikopter akan digunakan pada hari pengundian bagi kawasan pedalaman Gua Musang.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Meteorologi meramalkan tiada hujan sebelah pagi esok di seluruh Kelantan.

Terdapat 14 kerusi Parlimen dan 45 DUN di Kelantan. — Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...