04 April 2013

PRU 13: Kelantan, Kedah & Pulau Pinang BUBAR DUN ESOK 5HB. APRIL 2013



Gambar: Mesyuarat Pimpinan PAKATAN RAKYAT - HQ Tropicana

PETALING JAYA 4 APRIL: Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing selewat-lewatnya esok, selepas Selangor menjadi negeri Pakatan Rakyat yang pertama membubarkan Dunnya hari ini.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.



Pengesahan itu dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini petang tadi, selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden KEADILAN, Datuk Dr Mansor Othman; Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Pembubaran DUN itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V malam ini di Istana Negeri di Kubang Kerian.

“Pembubaran DUN Kelantan terserah kepada titah Tuanku,” katanya dipetik.

Azizan pula berkata, beliau menghadap Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di ibu negara pagi ini dan telah mendapat perkenan baginda bagi pembubaran DUN Kedah.

“Esok pada pukul 9.40 pagi, saya akan menghadap Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit (Kedah) untuk memaklumkan perkenan baginda Sultan untuk membolehkan DUN dibubarkan,” kata Azizan dipetik.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau telah bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini untuk mendapatkan persetujuan bagi pembubaran DUN Pulau Pinang esok.

Pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bagi memberi laluan kepada PRU 13.

DUN Perlis, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sabah dibubar semalam manakala DUN Johor dibubar hari ini.

DUN Negeri Sembilan pula terbubar dengan sendiri pada 28 Mac lepas.

Foto


Dewan Negeri Selangor Bubar  Petang tadi 2.30 , Rakyat Disaran Bijak Mengundi


KLANG 4 MAC : Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan secara rasminya hari ini apabila Warkah Pembubaran ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Menteri Besar serta Ahli-Ahli Dewan Diraja yang hadir.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rakyat Selangor akan berpeluang sekali lagi menjalankan hak dan tanggungjawab mereka dalam menentukan kerajaan yang memerintah

“Ahli Mesyuarat Kerajaan Selangor menyembahkan rasa syukur dan terima kasih kepada Baginda Sultan di atas tunjuk ajar serta panduan yang berikan sepanjang lima tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim selepas pertemuan dengan Sultan Selangor di Istana Alam Shah Klang di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh penjawat awam di negeri ini yang telah berkhidmat dengan cemerlang serta kerjasama yang mereka berikan kepadanya dan seluruh pimpinan di Selangor.

Beliau berharap semua penjawat awam akan terus bekerja dengan dedikasi meskipun kerajaan hari ini adalah kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dipilih.

“Begitu juga dengan seluruh anggota pasukan keselamatan negara yang diharap akan sentiasa menjaga keselamatan awam terutama ketika hari penamaan calon, tempoh berkempen dan sehingga hari pengundian.

“Ketua-ketua kampung, penghulu, ketua-ketua taman dan persatuan penduduk perlu menjaga keselamatan kawasan masing-masing supaya proses pilihan raya berjalan dalam suasana harmoni dan selamat.

“Kita juga perlu memastikan anak buah kita menjaga kesejahteraan komuniti dan mengelak diri daripada terpengaruh dengan segala bentuk provokatif mana-mana pihak,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membantu beliau dalam menjalankan tugas-tugas dengan memberi liputan sama ada secara positif atau negatif serta hebahan.

“Saya masih mengharap media memberikan laporan yang adil dan profesional sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

“Kepada semua pengundi di Selangor, saya berharap agar mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi secara bijak dengan memilih kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat, amanah, telus dan bertanggungjawab demi menjamin masa depan generasi akan datang.

“Saya juga mengharapkan rakyat di Selangor ini terus memberi mandat kepada Pakatan Rakyat demi kelangsungan kecemerlangan rakyat,” ujar Abdul Khalid.


Foto


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...