15 April 2013

BEKAS TIMBALAN SUK KEDAH CALON PKR PARLIMEN LANGKAWI



LANGKAWI:  Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Abdullah, 64, hari ini diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menamakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim, 50, sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah. 



Pakatan pembangkang memperuntukkan satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat, kepada PAS yang dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad, 50.

Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi DUN pada PRU 2008.

Pada PRU 2008, PKR bertanding bagi tujuh kerusi dan menang lima kerusi.Mereka kalah di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.

PKR sebelum ini mengumumkan nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU 2008.


Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan, akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu manakala Naib Presiden parti, N Surendran pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
Calon lain ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani, Nor Azrina Surip @ NurinAina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PKR Cabang Kuala Kedah, Dr Azman Ismail(Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.

Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung pula sekali lagi akan bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Setar selepas kalah pada 2008.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...