25 Oktober 2012

Panas !Perbendaharaan Kontang.. ? 3 Orang Bekas Menteri Kewangan Bimbang Dengan Kedudukan Kewangan Negara !!!



Cukai Rokok dan AES Cara Pantas Jana Hasil

SAYA merokok ikut-ikutan selama dua tahun apabila mula bekerja pada tahun 1969. Selepas itu berhenti terus. Saya nasihati orang yang rapat dengan saya jangan merokok, berhenti merokok atau kalau tak tahan sangat, cuba kurangkan merokok.
Saya benci sikap penghisap rokok yang tidak bertanggungjawab dan tidak sopan. Mereka tidak peduli orang yang tidak merokok. Mereka buang puntung rokok yang masih menyala sesuka hati. Pengotor.

Jadi, saya sepatutnya mengalu-alukan kenaikan tiba-tiba harga rokok dan tembakau mulai 22 Oktober yang diumumkan oleh syarikat pengeluar rokok dengan persetujuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia), pengeluar terbesar, menaikkan harga semua produk sebanyak 20 sen. Ia berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 18 Oktober mengenai kebenaran menaikkan harga kilang rokoknya antara 26 peratus hingga 58 peratus bermula Jumaat 19 Oktober.

Saya terus mengalu-alukan usaha mengurangkan tabiat yang merosakkan kesihatan itu, tetapi langkah menaikkan cukai melalui kenaikan harga itu “menceritakan” sikap kerajaan, khasnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak selain kemungkinan bahawa Perbendaharaan memerlukan pendapat segera.

Lazimnya, pengumuman kenaikan cukai rokok dan arak dibuat ketika pembentangan belanjawan negara. Tetapi, Mohd Najib tidak melakukannya ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Jadi, kenapa agaknya beliau berbuat begitu? Saya hanya berani dan boleh membuat andaian. Yang terlintas dalam fikiran adalah Mohd Najib mahu membentangkan belanjawan pilihan raya yang menyenangkan semua orang dan pihak. Beliau sendiri tidak menaikkan cukai rokok sebab beliau tahu banyak pengundi adalah perokok.
Tetapi, kenapa selepas 20 hari cukai rokok dinaikkan secara tidak langsung melalui kebenaran kenaikan harga oleh Kastam dan Eksais? Perokok lagi marah kerana mereka berasa tertipu. Dalam Belanjawan tak naik, tapi melalui prosedur Kastam dan Eksais naik.

Ada dua kemungkinan. Pertama, kerajaan memang hendak menaikkan harga dan cukai rokok, tetapi bukan melalui pengumuman Belanjawan. Kedua, Perbendaharaan kekurangan wang atau kehabisan wang untuk tahun semasa (2012).

Dan ketiga, dengan membenarkan kenaikan harga dan dengan itu kenaikan cukai di luar Belanjawan, kerajaan boleh memungut cukai serta-merta. Kalau dibuat melalui Belanjawan, ia hanya boleh dilaksanakan apabila Belanjawan diluluskan oleh Parlimen, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan arahan-arahan kewangan tertentu dikeluarkan.

Perbendaharaan Kesuntukan Duit?

Melihatkan kenaikan pintu belakang cukai rokok dan betapa cepatnya Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcment System- AES) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaksanakan serta saman dikeluarkan, nampaknya Perbendaharaan mungkin kesuntukan wang atau kekeringan wang untuk tahun semasa.

Saya dapat merasakan kemungkinan bahawa Perbendaharaan mengalami kesuntukan wang setelah secara kebetulan, bercakap dengan tiga orang bekas Menteri Kewangan, yang semua bimbang dengan kedudukan kewangan kerajaan
.


Hari ini, dalam akhbar The Star tersiar surat Mohd Zakry Omar, Ketua Unit Perhubungan Korporat dan Awam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bertajuk “AES Cameras Smart Enough” (kepintaran kamera AES memadai” dalam ruangan surat pembaca.

Setelah melihat saman yang dikeluarkan berikutan pelaksanaan AES, saya kurang yakin dengan kenyataan beliau. Sebaliknya, saya rasa sistem itu “is not smart enough” (tidak cukup pintar) apatah lagi meyakinkan.

Gambar yang disertakan hanya mempamerkan bahagian hadapan kenderaan dengan pelat nombornya sahaja. Gambar seperti itu boleh diambil di mana-mana pun. Kamera yang dikatakan pintar itu tidak mempamerkan dalam gambar tempat tangkapan, waktu dan tarikh tangkapan dan kelajuan (dalam kes melanggar had laju). (Lihat Gambar).



Kalau inilah hasil kamera AES, saya rasa kamera digital RM500 lebih “smart” kerana boleh pamerkan banyak maklumat atas gambar.

Terima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana membangkitkan ketidaksenangan dan keraguan umum terhadap sistem ini. Daripada apa yang saya lihat, sistem itu bukan sahaja tidak meyakinkan, tetapi kesilapan boleh berlaku ketika menulis saman kerana bukti bergambar seperti yang saya sebutkan di atas tidak ada atau tidak disertakan.

Tetapi, seperti lampu isyarat yang dipasang di tempat-tempat yang tidak diperlukan dan tidak dinyalakan, kemungkinan berlaku pakatan dan persekongkolan antara pembekal sistem dengan pembeli (JPJ) tidak boleh ditolak bulat-bulat.

Namun begitu, jelaslah sistem ini boleh menjana hasil yang lumayan dan “cost effective” kepada Perbendaharaan berbanding tangkapan laju dan sekatan jalan raya oleh pihak polis. AES tidak memerlukan tenaga manusia, tidak tidur malam dan beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Wallahualam. ~ A Kadir Jasin


Kedahkini

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...