06 September 2012

Penting ! Mohon Penjelasan Pihak SADA - Paip Air Tekanan Rendah

Penduduk Kampung Keda Gulau tidak mendapat bekalan air sejak setahun lepas


SIK, 5 Sept — Lebih 500 penduduk Kampung Keda Gulau meminta Syarikat Air Darul Aman (Sada) memotong bekalan air paip mereka yang dikatakan tidak diperoleh sejak setahun lepas.

Rata-rata penduduk yang ditemui mendakwa adalah sia-sia untuk mereka membayar bil air sekurang-kurangnya RM7 sebulan sedangkan mereka tidak mendapat bekalan air berikutan tekanan air yang rendah.

Setiap kali penduduk membuat rayuan, pegawai Sada daerah Sik hanya berjanji akan segera menghantar bekalan air ke kampung itu, tetapi lori tangki air tidak pernah tiba, kata mereka.

Keadaan itu memaksa penduduk menggunakan sumber air tidak dirawat dari kawasan bukit berhampiran menggunakan paip getah untuk minum, mandi dan membasuh.

Apabila musim kemarau, sumber air mereka itu akan kering manakala apabila hujan lebat, air akan tercemar dengan pelbagai kotoran dan sampah.

Seorang penduduk, Suraya Bahari, 37, berkata beliau terpaksa menggunakan air yang tercemar dengan kotoran itu untuk minum, mandi dan mencuci pakaian.

“Pakaian yang dicuci pun kadangkala menjadi kemerahan,” katanya.

Tengku Zaidi Tengku Mohd Yusof, 42, berkata ketiadaan bekalan air menyusahkan kehidupan 110 keluarga di kampung itu.

Seorang lagi penduduk kampung, Zakaria Abd Rahman, 54, berkata ada penduduk yang mengambil air sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari kampung itu untuk mandi dan mencuci pakaian.

“Untuk minum ada penduduk membeli air bersih dalam botol yang dijual di pasaran,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...