13 Ogos 2012

Hudud: " Fatwa Liar " disokong oleh Mufti ?

“Fatwa” Utusan sebagai lampu hijau untuk ‘bunuh’ DAP? – Oleh Dr Maszlee Malik


Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi.Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh
.

Kafir harbi

Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam.

Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.

Di zaman ini, warga atau rakyat non-Muslim yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi.

Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan non-Muslim.

Pengklafikasian Abdullah Samaah bahawa DAP adalah kafir harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan.

Lampu hijau

Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.

Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim.

‘Fatwa’ Abdullah yang direstui oleh Utusan itu juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.

‘Fatwa’ liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusan kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP.

Api perkauman


Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP.

Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah.

Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.


Mengeluarkan tajuk berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama.



Tiada tindakan terhadap Abdullah Saamah

SINAR HARIAN -13 Ogos 2012



SHAH ALAM – Majlis fatwa Kebangsaan tidak akan mengambil tindakan terhadap Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah berikutan kenyataannya, haram dan berdosa umat Islam menyokong DAP.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ini kerana kenyataan Abdullah tidak sama sekali bercanggah dengan Islam, bahawa adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong DAP yang terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.


“Tidak perlu tindakan terhadapnya, kerana kenyataannya itu selari dengan Islam yang jelas haram bagi umat Islam menyokong DAP,” katanya mengulas saranan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan berani mengambil tindakan dan menegur Abdullah Samaah.

Menurut Maszlee, kenyataan itu mencetuskan provokasi dan mungkin membuka jalan kepada ekstremis bangsa serta golongan subversif menumpahkan darah ahli-ahli DAP.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...