13 Julai 2012

RM1,500 Gaji Minimum Di Selangor Pusat masih Dok Kaji

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Dana RM10j bantu GLC

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi Geran Selangorku memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk membayar gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan anak syarikat milik penuh (GLC) kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bagi melayakkan kakitangan GLC yang berpendapatan kurang RM1,500 memperoleh gaji minimum, mereka akan diberi latihan mengikut kemahiran yang membolehkan mereka melakukan pelbagai kerja syarikat.

Menurutnya, peruntukan khas itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM1,500 ke atas semua kakitangannya.

“Kita sediakan dana sebanyak RM10 juta daripada RM300 juta di bawah Geran Selangorku khusus bagi membantu syarikat GLC yang tidak berkemampuan untuk memberi latihan kepada pekerja.

“Sebagai contoh kalau seseorang pekerja untuk mahir dalam bidang komputer, kita hantar pekerja ini kursus antara tiga hingga enam bulan dan hasilnya dia akan kembali sebagai pekerja yang memperoleh kemahiran tambahan,” katanya menjawab pertanyaan mulut Khasim
Abdul Aziz (Pas-Lembah Jaya) mengenai pelaksanaan gaji minimum kakitangan awam Selangor.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar tersebut merupakan satu langkah dalam usaha meningkatkan produktiviti dalam kalangan kakitangan GLC.

“Gaji bawah RM1,500 adalah sangat rendah dan Kerajaan Negeri perlu beri pekerja ini kemahiran supaya mereka tidak dapat bayaran yang rendah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kesemua syarikat GLC sudah melaksanakan dasar berkenaan dan kerajaan negeri sentiasa memantau perlaksanaannya dari semasa ke semasa.-SH


Gaji Minimum Ditetapkan RM900 Di Semenanjung, RM800 Di Sabah, Sarawak & Labuan: Najib

April 30th, 2012 by Najib Razak



PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) — Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.
“Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan,” katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di sini Isnin.

Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut Selasa dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.Najib berkata kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.

“Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.
“Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan,” katanya.
Jelas Najib lagi kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.

Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.“Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing,” katanya.

“Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional,” katanya.Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

“Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara,” katanya.Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.

Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.
Pada pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MPGN sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite telah merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan.Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011, kemudian akta diwartakan pada 15 Sept dan seterusnya, MPGN telah ditubuhkan pada 28 Sept.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...