02 April 2012

NLD DAKWA SUU KYI MENANG DALAM PILIHANRAYA KECIL

NLD dakwa Suu Kyi menang besar,Dahului 65 peratus undi 82 kawasan


YANGON- Penyokong ikon pembangkang Myanmar Aung San Suu Kyi bersorak kegembiraan semalam selepas partinya Liga Kebangsaan Ke arah Demokrasi (NLD) mendakwa beliau menang besar kerusi Parlimen dalam satu pilihan raya bersejarah, bagi membolehkan beliau memulakan tugas memimpin orang awam buat kali pertama.

Kejayaan itu, jika disahkan adalah satu pencapaian hebat di negara Asia Tenggara itu, di mana tentera memerintah secara eksklusif selama setengah abad.Ia juga dianggap hadiah terbesar dalam kerjaya politik Suu Kyi dan satu anugerah menakjubkan buat pemenang Anugerah Nobel berusia 66 tahun yang pernah dikenakan tahanan dalam selama hampir dua dekad.

Pengumuman kejayaan itu dipaparkan dalam satu papan tanda digital di ibu pejabat NLD di bandar utama Myanmar di sini, di mana lebih 1,000 penyokong mula menjerit tidak tentu arah sebaik mendengar berita itu.

“Kami menang! Kami menang!” teriak penyokongnya sambil bertepuk tangan, menari, mengibarkan bendera merah parti dan menunjukkan ibu jari dan V tanda kejayaan.

Terdahulu, NLD mendakwa Suu Kyi mendahului dengan 65 peratus undian di 82 daripada 129 tempat pengundian. Parti itu memiliki kakitangan dan sukarelawan di seluruh daerah sawah padi yang memaklumkan keputusan awal menerusi telefon ke ibu pejabat mereka di sini.

Keputusan itu bagaimanapun perlu disahkan oleh suruhanjaya pilihan raya rasmi, yang masih belum mengeluarkan mana-mana keputusan dan mungkin tidak membuat satu pengisytiharan rasmi selama beberapa hari.

Dakwaan kejayaan itu diumumkan ketika NLD mendakwa “penyelewengan berleluasa” berlaku pada hari pengundian. Jurucakap parti Nyan Win berkata menjelang tengah hari saja, parti itu memfailkan lebih 50 aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Katanya kebanyakan dakwaan pelanggaran membabitkan kertas undian berlilin yang undi sukar dikira. Ada juga kad undi yang tiada cap rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya, yang akan menjadikannya tidak sah.

Pilihan raya kecil semalam diadakan untuk mengisi 45 daripada 664 kerusi parlimen kebangsaan Myanmar dan tidak akan mengubah keseimbangan kuasa dalam kerajaan.

Suu Kyi dan calon pembangkang lain hampir tiada suara walaupun jika mereka menang semua kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, pencalonannya meningkatkan harapan di kalangan rakyat melarat Myanmar, yang sejak beberapa generasi hidup di bawah pemerintahan tegas tentera.

“Beliau mungkin tidak berupaya berbuat apa-apa pada peringkat ini. Namun satu hari nanti, saya percaya beliau berupaya membawa perubahan sebenar,” kata seorang pengundi, Go Khehtay, yang membuang undi untuk Suu Kyi di Wah Thin Kha, satu daripada perkampungan miskin di kawasan luar bandar selatan ibu kota ini.– AP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...