04 April 2012

BERSIH 3.0 : 28 APRIL 2012

Tarikh BERS✔H 3.0 : 28 April 2012 (Sabtu) Jam 2 PM Di Dataran Merdeka

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini mengumumkan bahawa akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April ini. Demikian lapor malaysiakini dan harakahdaily

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perkara itu diumumkan jawatan kuasa pemandu NGO itu pada satu sidang media di sini, pagi ini.

Perhimpunan dengan slogan "Duduk Bantah" itu akan dijalankan bersama 84 NGO lain.

Semalam blog ini telah memetik laporan themalaysianinsider yang memetik sumber dari jawatankuasa Bersih bahawa Bersih 3.0 tidak dapat dielakkan akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini.

PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,”

Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.

SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu harakahdaily melaporkan penolakan usul berkenaan laporan minoriti dan juga meluluskan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa perbahasan merupakan pemangkin kepada perlaksanaan himpunan Bersih 3.0.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pakatan Rakyat mempunyai hujah serta bukti apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta mereka mengemukakan bukti amalan laporan minoriti yang dilakukan di mana-mana negara Komanwel.

"Bila Speaker meminta kita kemukakan bukti amalan mana-mana negara komanwel yang melaksanakan laporan minoriti dalam Parlimen mereka.

"Kita mempunyai hujah serta fakta berasaskan apa yang berlaku dalam Parlimen di New Zealand, Australia mahupun negara-negara kecil seperti Jamaica yang ada keutamaan tentang laporan minoriti dimasukkan atau dibahaskan bersama dengan laporan yang dikemukakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah tidak munasabah Pakatan Rakyat dilayan sedemikian, yang mana hujah-hujah mereka langsung tidak mahu didengari di Parlimen.

"Saya merasakan dengan penolakkan ini rakyat diluar sana dapat melihat bagaimana proses penyuburan demokrasi." ujar Salahuddin.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...