24 Mac 2011

Syabu RM16.1 juta dalam kapal dirampas polis

SHAH ALAM - Polis merampas 58 bungkusan syabu seberat 81.4 kg dan bernilai kira-kira RM16.1 juta dari sebuah kontena berisi perabut dan permaidani di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, seorang lelaki warga Iran berusia 32 tahun turut ditahan pada hari yang sama di Lembah Klang sebelum serbuan dilakukan ke atas kontena berkenaan.

Serbuan dan rampasan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Selangor.

Nordin berkata, lelaki tersebut yang bekerja sebagai jurujual telefon di Iran telah masuk ke Malaysia sebanyak dua kali dan hasil siasatan daripada dokumen-dokumen perkapalan yang ada padanya membolehkan polis menghidu penghantaran dadah berkenaan.

Beliau memberitahu sidang media di sini hari ini bahawa kontena yang membawa dadah yang disembunyikan di dalam gulungan 11 permaidani itu telah tiba di Pelabuhan Barat pada 19 Mac lepas. - Bernama

LAGI...
Kastam KLIA berjaya rampas dadah bernilai RM567,000


NILAI - Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan seorang wanita Vietnam di KLIA dan merampas 2.266 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai kira-kira RM567,000 daripadanya, tiga hari lepas.

Pengarahnya Datuk Govinden Mutosamy berkata, wanita berusia 30-an yang baru tiba dengan penerbangan Thai Airways itu ditahan pada kira-kira pukul 8.50 malam.

Beliau berkata, pihaknya menemui enam bungkusan plastik mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu itu selepas memeriksa dua beg kecil (briefcase) yang ditemui dalam sebuah beg pakaian seorang penumpang yang baru tiba, Isnin lepas.

"Bahan disyaki dadah itu disembunyikan di dalam lapisan kain dinding bahagian belakang, tengah dan hadapan pada setiap beg kecil itu,” katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Kastam Narkotik, Kampung Jijan dekat sini, hari ini.

Katanya, wanita yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Kuala Lumpur itu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...