27 Mac 2011

PR Sarawak: PKR nafi tidak sehaluan dengan DAP

KUCHING:Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam menafikan parti itu dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak sehaluan seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar semalam (Jumaat).

Pengerusi PKR Negeri Baru Bian berkata pertindihan tuntutan ke atas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak bermakna kedua-dua parti itu sudah tidak bekerjasama sebaliknya ketika ini rundingan mengenai pembahagian kerusi masih diadakan.

“Saya baru sahaja berbual dengan presiden (Azmin Ali), rundingan masih berlangsung… saya tidak mahu mengulas atau menambah apa yang telah dikatakan oleh YB Chong Chieng Jen (Setiausaha DAP Negeri). Rundingan belum berakhir, itu yang sangat penting.

“Apa jua yang berlaku, pendirian kami ialah apabila tiba masanya, iaitu pada hari penamaan calon, kami sangat yakin bahawa semua masalah atau isu akan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Negeri di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu, penasihat PKR Negeri Datuk Hafsah Harun.

Baru berkata biarpun PKR dan DAP ada pendirian sendiri terhadap kerusi tertentu tetapi apabila tiba masanya tidak bermakna mereka tidak bekerjasama kerana hasrat serta sentimen kedua-dua parti adalah sama yakni berganding bahu dan bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak 16 April nanti.

“Masalah ini akan selesai… saya percaya saudara Lim Kit Siang (penasihat DAP) dan Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kebijaksanaan yang ada pada mereka) akan menyelesaikan semua masalah ini, demi kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak khasnya dan negara amnya,” ujar beliau.

Beliau menambah dalam apa jua keadaan perbalahan terhadap pembahagian kerusi harus dielakkan biarpun hanya membabitkan dua atau tiga kerusi.

“Bagi saya dan PKR malah satu kerusi itu sangat penting,” ujarnya.

Menurutnya antara kerusi yang menjadi rebutan PKR dan DAP ialah Bukit Kota sambil memberitahu PKR mahukan kerusi itu kerana yakin boleh menang dengan baik ekoran sokongan padu daripada penduduk akar umbi di situ.

Dalam pada itu beliau memberitahu bahawa keputusan muktamad mengenai calon-calon PKR yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri nanti, akan diketahui hujung bulan ini dan pengumuman akan dilakukan sendiri oleh Anwar yang dijadual datang ke Sarawak pada 29 Mac ini.

“Beliau (Anwar) sepatutnya berada di sini pada hujung bulan ini, maknanya sebelum tarikh atau hari pengumuman calon, masalah pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) akan selesai,” katanya.

Sementara itu, Chong pada sidang media pada Khamis berkata beliau telah diamanah oleh Pengerusi DAP Negeri Richard Wong Ho Leng untuk memaklumkan bahawa mesyuarat membincangkan pembahagian kerusi antara PKR dan DAP di Kuala Lumpur Khamis lepas gagal mencapai kata sepakat.

Chong memberitahu bahawa dalam mesyuarat itu DAP berpendirian tegas untuk bertanding di 18 kerusi DUN selepas keputusan DAP menawarkan Padungan dan Senadin kepada PKR tidak menggembirakan parti itu.

“Dalam cubaan terakhir agar kedua-dua parti dapat bersama dalam semangat Pakatan Rakyat, DAP bersetuju memberi laluan kepada PKR bertanding di Padungan dan Senadin. Bagaimanapun PKR meminta untuk bertanding di Balai Ringin, Batu Kawah dan Dudong.

“Kami beri betis, mereka (PKR) mahukan paha,” katanya.

Baru bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu apabila diaju soalan berhubung perkara itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...