30 Mac 2011

Polis dipenjara 3 tahun sorok kes rogol

Harakahdaily
JOHOR BAHRU, 30 Mac: Dua pegawai polis telah dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM25,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibacakan bersama Seksyen 107 Kanun Keseksaan pada pagi ini, menurut kenyataan SPRM.
Erawan Said, 29, dan Mat Rawi Rudin, 52, kedua-duanya berpangkat Lans Koperal semasa kesalahan dilakukan didapati bersalah atas satu pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah 4 Johor Bahru atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang orang awam sebagai dorongan untuk tidak membuat repot polis ke atas satu kes rogol.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan tersebut pada 1 Januari 2004 di sebuah Restoran Makanan Laut dan Tomyam yang terletak di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada kira-kira jam 6.05 petang.

Erawan yang diwakili oleh peguam Lokman Yacob dan Mat Rawi diwakili oleh peguam Mohd Faridz Mohd Dahlan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, dan mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga waktu yang akan ditetapkan kelak.

Jumlah jaminan mahkamah juga telah ditambah daripada RM3,500 kepada RM10,000 seorang.

Kedua-dua tertuduh kini telah ditahan kerja oleh jabatan.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Noorfazlin Hamdan di hadapan Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...