20 Mac 2011

DUN Sarawak -Calon PR diketahui minggu depan

KUCHING: Kecuali Parti Nasional Sarawak (SNAP), tiga parti gabungan pembangkang iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS bakal menyelesaikan pembahagian 71 kerusi pada pilihan raya negeri menjelang minggu depan.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata parti itu telah menyenaraipendekkan calon dan menjangka memuktamadkannya pada Ahad, namun ia tidak akan diumumkan lagi.

"Biro politik akan mengesahkannya sebelum presiden membuat pengumuman rasmi," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri pada Isnin, beliau berkata parti itu langsung tidak terkejut dengan pengumuman Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Ia sememangnya seperti yang kami jangkakan dan dari segi mental kami telah bersedia," katanya.

Sementara itu, pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata parti tersebut bersedia menghadapi pilihan raya negeri dan akan membuat keputusan akhir mengenai calon selewat-lewatnya Selasa ini.

"Kami yakin rundingan antara PKR, PAS dan SNAP berhubung pertindihan kerusi boleh diselesaikan dengan baik sebelum penamaan calon," katanya.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Adam Ahid pula berkata parti itu berhasrat untuk bertanding di enam kerusi iaitu di Tupong, Sadong Jaya, Sebuyau serta Beting Maro yang majoriti penduduknya Melayu, selain di Jepak dan Senadin yang dihuni berbilang kaum.

"Bagaimanapun, rundingan mengenai kerusi dengan DAP dan PKR belum dimuktamadkan dan mungkin kami akan bertanding di kawasan yang lebih sedikit ekoran terdapat pertindihan di kawasan tertentu," katanya yang menambah bahawa keputusan akhir di mana PAS bertanding hanya akan diketahui menjelang Isnin.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa DAP mempunyai tiga pertindihan kerusi dengan PKR serta masing-masing satu dengan PAS dan SNAP, selain bercadang bertanding di 20 kerusi, manakala PKR pula mahu meletakkan calonnya di 52 kerusi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...